Kiriman pada: Tue, Jul 28th, 2015

Menteri Kewangan BC Jangka Projek LNG Diketuai Petronas Bermula September

Kongsi maklumat ini
Tags

sfrhKuala Lumpur – Projek terminal eksport Gas Asli Cecair (LNG) bernilai US$36 bilion di Kanada dijangka bermula September ini, kata Menteri Kewangan British Columbia (BC) Michael de Jong.

“Pembinaanya akan bermula tidak lama lagi. Semua prasyarat lain sedang diuruskan,” katanya kepada pemberita di sini selepas bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Najib atas kepimpinan dan wawasan yang meletakkan Malaysia untuk memainkan peranan utama dalam pembangunan antarabangsa industri LNG yang muncul di BC, Kanada.

“Kini hanya perlu mendapatkan perakuan alam sekitar dari kerajaan pusat kami dan kami sedang berusaha berkenaannya. Kami yakin dalam tempoh terdekat ia akan dimuktamadkan,” kata de Jong.

Projek LNG Pacific NorthWest diterajui syarikat Malaysia, Petronas terletak di timur laut BC melibatkan pembinaan kemudahan untuk memproses dan mengeksport gas asli yang akan dihasilkan oleh Progress Energy Canada Ltd.

“Malaysia dan Petronas memainkan peranan penting dalam mengetuai sebuah konsortium yang terdiri daripada syarikat dari China, India, Jepun dan Brunei dalam projek tersebut.

“Ia akan menjadi perkongsian teknologi Malaysia dengan syarikat Kanada bagi mendapatkan sumber yang banyak dimiliki oleh kami untuk dunia,” kata de Jong.

Beliau berkata Pacific NorthWest LNG merancang untuk membina kemudahan LNG di Pulau Lelu, terletak dalam Daerah Pelabuhan Edward yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan Prince Rupert.

Mengenai pertemuan dengan Najib, de Jong berkata pihaknya menyediakan maklumat terkini mengenai usaha yang diambil kerajaan BC untuk menyokong dan memajukan projek LNG serta mengesahkan kepada perdana menteri mengenai proses perundangan BC yang membenarkan ratifikasi perjanjian antara Petronas, rakan kongsi antarabangsanya dan kerajaan BC.

Projek LNG merupakan cara untuk menggantikan tenaga yang kotor kepada tenaga bersih di Kanada, dan ia menjadi satu daripada antara faktor sokongan rakyat Kanada terhadap projek berkenaan, katanya.

Beliau berkata kejayaan projek itu akan meningkatkan pelaburan dan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kanada, yang berjumlah C$3 bilion pada tahun lepas.

“Projek LNG ini akan melonjak kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang Kanada dari keempat (kedudukan semasa) kepada kedua.

“Memandangkan peranan utama yang dijalankan oleh Malaysia berkaitan pembangunan LNG di sini, saya yakin kita akan melihat kesan sampingan,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.