Kiriman pada: Sat, Feb 11th, 2017

Menteri Letak Jawatan, Khabar Angin Nakal

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Bahru – Khabar angin mengenai peletakan jawatan seorang menteri kanan Kabinet disifatkan sebagai tindakan nakal sesetengah pihak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata khabar angin itu sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak berikutan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal tiba tidak lama lagi.

“Ada orang yang nakal sengaja timbulkan perkara ini dan kita menjangkakan lebih banyak perkara sama akan timbul selepas ini.

“Kita berharap rakyat tidak terpesong dengan cerita tidak sahih yang berlegar di media sosial,” katanya selepas hadir majlis Makan Malam Meraikan Petugas Banjir, di sini, malam tadi.

Mustapa berkata, penyebaran khabar angin berkenaan tidak menjejaskan fokus serta tugas menteri yang diamanahkan bagi menjalankan agenda untuk kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula menyifatkan khabar angin itu adalah maklumat yang sengaja diadakan.

Ia berunsurkan khabar angin yang menular di media sosial bertujuan melemahkan kedudukan kerajaan sedia ada, sebagaimana beliau alami masa kini.

“Saya juga sedang mengalami situasi sama, …saya fikir dalam dunia media sosial kini, masyarakat perlu berhati-hati dalam penerimaan maklumat kerana banyak maklumat salah diwujudkan pembangkang.

“Maklumat yang bersifat fitnah ini akan cepat sampai kepada rakyat kerana mereka mempunyai kecenderungan untuk menerima dan mengetahui tanpa mendapatkan sesuatu yang tepat mengenai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2017 bersama masyarakat Cina Parlimen Keterah di sini, malam tadi.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi kiriman di Twitter dan Facebook beliau menegaskan tiada seorangpun menteri memaklumkan kepada beliau untuk meletakkan jawatan.

“Saya menganggap Azmin memberitahu sesuatu yang tidak benar untuk menarik perhatian, lainlah dia menyatakan nama menteri berkenaan,” katanya.

Beliau mengulas tweet Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang seperti bermain teka-teki semalam apabila mengutarakan persoalan ada menteri kanan yang meletak jawatan.

“Benarkah ada seorang menteri kanan telah meletakkan jawatan? Khabarnya beliau tidak mahu bersubahat dengan 1MDB. Cuba ikuti perkembangan,” kata Azmin di menerusi akaun Twitter beliau petang semalam.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.