Kiriman pada: Mon, Dec 19th, 2016

Mercy Mission Bukan Satu Misi Peribadi

Kongsi maklumat ini
Tags

Kerja amal dan kemanusiaan yang dilakukannya menerusi Mercy Mission yang menjelajah ke seluruh dunia untuk membantu umat Islam pernah menerima kritikan negatif kerana dianggap satu misi peribadi.

Namun, ia langsung tidak mematahkan semangat Pengerusi Mercy Mission, Dr Tawfique Chowdury untuk terus melebarkan sayap sehingga pertubuhan itu kini sudah bertapak di 14 buah negara dengan dibantu 10,000 sukarelawan.

Mengulas sejarah awal penubuhan Mercy Mission, Dr Tawfique berkata, idea tercetus ketika berada di saf depan Masjid Nabi SAW dan memikirkan apa yang patut dilakukannya dalam hidup.

“Ketika itu, saya fikir jika Rasulullah SAW masih hidup, pasti Baginda akan membantu orang lain dan mendidik manusia.

“Kemudian, terus nekad menubuhkan Mercy Mission iaitu misi kepada hidup saya kerana Rasulullah SAW dihantar sebagai utusan rahmat kepada mausia.

“Ia bermula di Sydney, Australia pada 2006 dengan projek pertama menerusi penubuhan Institut al-Kauthar yang menyediakan sepenuhnya kursus pengajian berteraskan Islam,” katanya.

Pernah membesar sebagai seorang Ateis Beliau yang juga seorang pakar perubatan kecemasan berkata, pengetahuannya terhadap ilmu agama ketika kecil begitu cetek dan membesar sebagai seorang ateis yang tidak mempunyai kepercayaan kepada Allah SWT sehingga tamat persekolahan tinggi.

Bagaimanapun, ketika melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Melbourne, Australia, hidayah datang dengan sendirinya hingga membuka hati untuk lebih mendalami Islam.

Tidak sempat menamatkan pengajian di universiti berkenaan, Tawfique kemudian mendapat tawaran untuk mengikuti pengajian Syariah dan Undang-undang Kehakiman di Universiti Madinah selama enam tahun.

“Apabila saya belajar di Madinah, saya mula sedar betapa Islam benar-benar mahu kita membantu sesama manusia.

“Jadi Islam adalah punca sebenar yang membawa saya lebih dekat dengan usaha untuk bekerja di jalan Allah SWT.

“Selepas tamat pengajian, saya mengambil semula pengajian perubatan di Universiti Bond, Australia kerana sedar manusia yang baik perlu menguasai ilmu dunia dan akhirat,” katanya.

Tambahnya, misi beliau bukan saja menjadi doktor yang boleh merawat badan manusia, bahkan mengubati jiwa umat Islam melalui dakwah dan misi kemanusiaan yang dijalankan.

Pendidikan menjadi teras Mercy Mission mempunyai misi yang amat jelas bagi memastikan umat Islam menjadi ummah yang kuat dengan cara mendapat pendidikan yang sempurna.

Katanya, konflik dihadapi di beberapa negara Islam terutama peperangan bukan saja mengakibatkan kemiskinan, bahkan mereka turut tertinggal dalam soal pendidikan.

Justeru, selain perkhidmatan sosial dengan menyumbang kepada negara bergolak, isu pendidikan perlu dilihat secara tuntas dari peringkat sekolah hingga universiti.

“Menjelang tahun 2030 dijangka umat Islam akan menjadi 2.2 bilion dengan 550 juta umat Islam berumur 18 tahun ke bawah.

“Ini bermakna menjelang tahun 2030 akan ada 550 juta anak yang bersekolah.

“Jadi kita perlu memikirkan siapa yang akan mendidik mereka, cukupkah jumlah guru dan dapatkah sekolah dan universiti sedia ada menampung peningkatan penduduk Islam,” katanya.

Buka sekolah Islam antarabangsa Selepas 11 tahun penubuhan Mercy Mission, Tawfique memberitahu, beliau sedang giat memperbanyakkan sekolah Islam antarabangsa yang berkualiti di seluruh dunia bermula di peringkat tadika hingga universiti.

Antaranya, di Malaysia, sejak tiga tahun lalu ditubuhkan sekolah Islam antarabangsa dinamakan Seven Skies International.

“Selain Seven Skies International, Mercy Mission juga dalam usaha menyediakan tadika berkualiti dengan kemudahan latihan dan bengkel untuk guru.

“Ia dibina atas derma masyarakat Islam di Malaysia sendiri dan kini kami dalam proses melancarkan sekolah dengan jenama sama di Sydney dan Melbourne, Australia tahun depan,” katanya.

Dalam masa sama, Tawfique turut memberitahu tumpuan terhadap isu kritikal penduduk Islam di negara tertentu seperti Australia yang diketahui dengan masalah Islamofobia dan United Kingdom pula membantu menangani ateisme dalam kalangan belia.

Oleh Latifah Arifin latifah

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.