Kiriman pada: Fri, Feb 19th, 2016

Merentas Garisan Politik Kepartian

Kongsi maklumat ini
Tags

sdhsgSUATU pertemuan bersejarah dianggotai 86 anggota Majlis Perundingan Islam (MPI) telah diadakan pada 11 Februari lepas dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Penulis juga menghadiri pertemuan tersebut dan telah menganggotai MPI sejak 2008 lagi.

MPI sebenarnya sudah lama ditubuhkan tetapi baru diaktifkan semula atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri.

Bagi menggerakkan MPI sebanyak tujuh kluster ditubuhkan, iaitu Dakwah (diketuai Datuk Dr Haron Din), Ekonomi (Tan Sri Ali Hashim), Pendidikan (Tan Sri Prof Kamal Hassan), Sosial (Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki), Perundangan (Datuk Seri Prof Zaleha Kamarudin), Pemikiran Islam (Datuk Dr Sidek Fadhil), dan Politik (Datuk Dr Zambry Abd Kader).

Penulis tidak berhasrat menulis tentang peranan MPI dalam ruangan ini tetapi ingin menjelaskan persepsi negatif yang cuba dilakar oleh sebahagian daripada umat Islam sendiri.

Sebagai salah seorang anggota MPI saya sangat terkejut dengan penolakan sesetengah individu di luar MPI terhadap pertubuhan ini. Minda terperangkap oleh tempurung politik sebegini tidak akan memberi manfaat kepada agama Islam ataupun umat Islam.

MPI menyediakan platform kepada anggota melangkaui sempadan politik kefahaman dan budaya asalkan ia tidak bertentangan dengan Islam.

Disebabkan itu beberapa tokoh yang dilihat tidak sealiran dengan pemerintah juga dilantik menganggotai MPI.

Isu diketengahkan ialah mempersoal lantikan Mursyidul Am Pas dalam MPI. Sebagai orang yang tidak berkecimpung dalam arena politik, saya melihat lantikan ini sebagai suatu anjakan paradigma sangat baik kerana umat Islam pelbagai aliran dapat duduk bersama mencari penyelesaian. Tidak sekali-kali bersifat negatif memberi keburukan kepada mana-mana pihak.

Pada pandangan penulis tidak timbul isu menghina Mursyidul Am Pas dengan lantikan ini kerana ia bukan lantikan daripada Umno. Lantikan ini adalah lantikan kerajaan. Seharusnya seorang Islam tidak kira dari parti kerajaan atau pembangkang bersatu dalam isu Islam. Matlamatnya adalah untuk memartabatkan agama Islam.

Penulis berkesempatan bertanyakan sendiri kepada Dr Haron Din mengenai dakwaan penghinaan ini. Beliau memberi tamsilan yang mudah. Semasa Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah Baginda bersama Saidina Abu Bakar RA dan sudah pasti para malaikat bersama Baginda, namun jurupandu Baginda yang bertanggungjawab atas keselamatan dan memastikan Baginda tiba di Madinah adalah Abdullah ibn ‘Uraiqit seorang bukan Islam.

Bukankah tindakan Rasulullah SAW melantik seorang yang bukan Islam menjadi penunjuk jalan, menuruti segala arahannya, mempercayai segala tindak tanduknya boleh dilihat dan seolah-olah satu penghinaan terhadap Islam? Baginda pasti lebih mengetahui daripada kita semua.

Sementelah tidak hina Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar RA dan para malaikat kerana berada di bawah seliaan orang bukan Islam. Iktibar ini perlu diambil kerana matlamatnya lebih besar berbanding siapa yang mengemudikan MPI tersebut.

Penulis menyeru kepada semua umat Islam jangan mempolemikkan pelantikan ini. Pada tahun 2008 pun sudah ada lantikan dibuat dalam kalangan ahli MPI yang mempunyai kecenderungan politik berbeza dengan pihak kerajaan. Kenapa sekarang baru ditimbulkan. Lihatlah Islam dari lensa merentasi batasan politik kepartian. Bersama-sama bersepakat untuk membawa agenda Islam.

Berilah peluang kepada MPI untuk bergerak. Bantulah anggota MPI bagi membuat sesuatu demi agama Islam sejajar dengan kedudukan tinggi agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Marilah kita sama-sama mengagamakan politik bukan mempolitikkan agama.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.