Kiriman pada: Thu, Aug 6th, 2015

Mesyuarat ASEAN Masuk Hari Terakhir

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDIKuala Lumpur – Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-22 berlangsung hari ini, hari terakhir daripada enam hari siri mesyuarat yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48.

Mesyuarat pada hari ini bermula dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Tiga ke-16 melibatkan 10 anggota perkumpulan serantau itu serta China, Jepun dan Korea Selatan.

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kebimbangan berhubung pertikaian terhadap wilayah di Laut China Selatan menjadi tumpuan beberapa hari ini dalam mesyuarat dari 1 hingga 6 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini iaitu AMM ke-48, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan.

Malaysia ialah pengerusi ASEAN bagi 2015.

Turut berlangsung hari ini ialah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS FMM) ke-5 membabitkan ASEAN serta Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Rusia.

EAS adalah forum pemimpin serantau menerusi dialog strategik dan kerjasama untuk menangani pelbagai cabaran dihadapi rantau Asia Timur. EAS yang pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 2005.

Mesyuarat ARF di ibu negara Malaysia ini diadakan dalam bentuk sesi pleno dan sesi pemukiman.

Peserta ARF ialah semua anggota ASEAN serta Australia, Bangladesh, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Mongolia, New Zealand, Korea Utara, Pakistan, Papua New Guinea, Rusia, Korea Selatan, Sri Lanka, Timor Leste dan Amerika Syarikat.

Pertama kali diadakan di Bangkok pada 1994, ARF merupakan Forum Asia Pasifik yang penting bagi menggalakkan dialog terbuka tentang politik dan kerjasama keselamatan di rantau itu.

Malaysia, pada mesyuarat berkenaan, diwakili Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry turut berada di sini bagi menghadiri mesyuarat melibatkan negaranya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.