Kiriman pada: Wed, Jan 27th, 2016

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Lulus Usul TPPA

Kongsi maklumat ini
Tags

Mustapa-MohamedKuala Lumpur – Mesyuarat khas Dewan Rakyat meluluskan usul mempersetujui penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), sekaligus meletak negara selangkah ke hadapan untuk menandatangani dan meratifikasi perjanjian kompetitif itu.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 127 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak.

Seramai 24 anggota Parlimen membahaskan usul itu yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam.

Usul itu antara lain mencadangkan Dewan Rakyat mempersetujui penglibatan Malaysia dalam TPPA yang akan memperkukuhkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.

Susulan keputusan itu, Dewan Rakyat menyokong keputusan kerajaan bagi Malaysia menjadi sebahagian negara anggota TPPA selepas rundingan perjanjian itu dimuktamadkan pada 5 Okt 2015 di Atlanta, Amerika Syarikat, selepas lebih lima tahun berunding.

Mustapa ketika menggulung perbahasan usul itu berkata TPPA bukan perjanjian perdagangan yang dirangka oleh Amerika Syarikat semata-mata, sebaliknya Malaysia turut mengambil bahagian dalam merangka draf perjanjian antarabangsa itu di samping 11 negara lain.

Antaranya bagi Bab 6, 21, dan 24 yang berkaitan dengan kerjasama dan bina upaya mengenai perusahaan kecil dan sederhana, pembangunan, dan bab-bab yang penting lain yang tidak terdapat dalam mana-mana perjanjian perdagangan.

“Sehubungan itu, pandangan bahawa Malaysia mengguna pakai template Amerika Syarikat adalah tidak benar,” tegas beliau.

Mustapa turut menegaskan Malaysia tidak akan dipengaruhi oleh sistem kapitalis sekiranya menandatangani TPPA dan ia juga tidak akan mengubah sistem ekonomi negara yang mengamalkan ekonomi campuran.

Beliau juga menjelaskan bahawa perbincangan mengenai TPPA bukan dibuat secara ‘one man show’ sebaliknya melibatkan banyak pihak, selain lebih 40 kali dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan dalam tempoh lima tahun.

Selain Mustapa, lima menteri lain yang terlibat sama dalam pelaksanaan perjanjian TPPA turut menggulung perbahasan usul bagi kementerian masing-masing.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.