Kiriman pada: Wed, Feb 17th, 2016

Misteri Kehilangan Empat Pemuda Terjawab

Kongsi maklumat ini
Tags

20160216232908Johor Bharu – Misteri Kehilangan empat sahabat yang sejak Rabu lepas ketika dalam perjalanan bercuti ke Terengganu terjawab apabila mereka ditemui mati di dalam sebuah kereta yang terjunam dalam sebatang anak sungai di Kota Tinggi hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata orang ramai menemui sebuah kereta jenis Honda Accord terbalik di dalam anak sungai di sebuah ladang kelapa sawit di Kota Tinggi sebelum menghubungi pihak polis kira-kira 8.10 pagi tadi.

“Sepasukan polis yang dibantu bomba dan Jabatan Pertahanan Awam telah bergegas ke tempat kejadian dan apabila kereta itu ditarik naik, mayat lelaki ditemui di dalamnya,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu dan akan mendapatkan keterangan daripada pihak keluarga keempat-empat pemuda berkenaan.

Beliau berkata punca kejadian juga belum dikenal pasti, namun, tiada sebarang unsur jenayah boleh dikaitkan dengan kejadian itu.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, mayat kesemua pemuda terbabit dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat.

Empat pemuda yang kesemuanya berusia 21 tahun itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam, di sini, ke Terengganu untuk bercuti.

Mereka dikenalpasti sebagai Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.

Mengikut laporan yang diterima polis daripada keluarga pemuda terbabit, mereka bertolak dari Bandar Seri Alam, kira-kira 9.30 malam Rabu lepas dengan menaiki kereta Honda Accord itu menuju ke Terengganu.

Mereka dipercayai melalui jalan Johor Baharu-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk bercuti ke lokasi yang masih belum diketahui secara tepat.

Namun, selepas dua jam bertolak kira-kira jam 11.30 malam, mereka gagal dihubungi oleh keluarga melalui talian telefon bimbit masing-masing.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.