Kiriman pada: Mon, Mar 16th, 2015

Miti Akan Siasat Dakwaan Penggunaan Buruh Paksa Di Kalangan Kanak-Kanak

Kongsi maklumat ini
Tags

datuk-seri-mustapa-mohamedKUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan menyiasat dakwaan penggunaan buruh paksa di kalangan kanak-kanak di sektor industri elektronik di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tuduhan yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS) mampu memberi implikasi buruk terhadap eksport elektrik dan elektronik negara dalam jangka masa panjang.

“Kerajaan memandang serius tuduhan tersebut dan tidak membenarkan amalan buruh paksa di syarikat-syarikat dalam negara dan pandangan ini turut dimaklumkan kepada pihak AS.

“Pihak kerajaan akan siasat perkara ini dan dalam pada masa yang sama, akan menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan AS untuk menghasilkan pelan tindakan khusus untuk menangani masalah buruh paksa dalam sektor ini,” katanya ketika menjawab soalan kepada Sim Tze Tzin, (PKR-Bayan Baru) dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

AS pada 1 Disember tahun lalu menyenaraihitamkan barangan elektrik dan elektronik Malaysia sebagai sebuah sektor dengan dakwaan wujud amalan buruh paksa oleh Jabatan Buruh AS di bawah mandat “Trafficking Victims Protection Reauthorization Act”.

Senarai tersebut dikatakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai buruh kanak-kanak dan buruh paksa di seluruh dunia bagi menggalakkan peluang kerjasama dua hala untuk menangani masalah tersebut.

Mengakui ia memberi implikasi buruk terhadap eksport serta ekonomi negara, Mustapa menjelaskan, pihaknya turut mengambil langkah meningkatkan penguatkuasaan agensi kerajaan yang terlibat bagi membendung masalah ini.

“Sebagai alternatif, kerajaan akan mengukuhkan koordinasi di antara agensi kerajaan termasuk penglibatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri supaya isu buruh paksaan ini dibincangkan dan ditangani di peringkat tertinggi.

“Pihak kerajaan juga akan meningkatkan konsultasi bersama industri mengenai perkara ini dan menyokong inisiatif industri untuk mengawal selia sendiri sektor industri elektronik dan elektrik melalui kod tata kelakuan ‘Electronic Industry Citizenship Coalition,” katanya lagi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.