Kiriman pada: Sun, Dec 4th, 2016

Momentum Semangat PAU 2016 Bakal Hasilkan Kemenangan Besar Pada PRU14

Kongsi maklumat ini
Tags

semangatKuala Lumpur – Kalangan anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO menjadikan momentum yang terzahir daripada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) dalam menghasilkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata semua anggota UMNO kini perlu memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan bagi memastikan lebih banyak kerusi dimenangi dalam PRU14 akan datang.

“Dalam ucapan presiden banyak menekankan mengenai persediaan PRU, semua bahagian komited dan KPI daripada perhimpunan ini ialah tentukan yang kerusi (dimenangi) lebih daripada pilihan raya lepas,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ucapan penggulungan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang berakhir hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Seorang lagi anggota MT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata perhimpunan kali ini menaikkan semangat anggota untuk bekerja keras di kawasan masing-masing bagi memenangi hati pengundi.

“Ucapan presiden memberikan kekuatan semangat kepada anggota UMNO bagi menghadapi PRU akan datang, gendang perang dah pun dipalu dan kami kini sudah bersedia untuk PRU,” katanya.

Tan Sri Ibrahim Abu Shah menyifatkan perhimpunan kali ini sebagai paling penting bagi menyemarakkan semangat kebersatuan untuk menghadapi gelombang PRU.

“Kita mengharapkan selepas perhimpunan ini, yang paling penting jaga rumah tangga kita sendiri, anggota dalaman mesti bersatu, jangan percaya dakyah di luar, jangan keliru sebaliknya kerja kuat dan usaha turun ke bawah untuk ambil hati rakyat,” kata anggota MT itu yang juga pengerusi Biro Pendidikan UMNO.

Bagi Datuk Seri Mustapa Mohamed, semangat tinggi dan bersatu padu telah ditunjukkan oleh kesemua anggota perwakilan sekali gus menjadikan parti keramat orang Melayu itu lebih yakin dalam menempuh PRU14 nanti.

Selepas ketidaktentuan tahun lepas, perhimpunan kali ini dilihat berkesudahan amat baik dengan semua anggota menunjukkan semangat perpaduan yang lebih jitu.

“Yang penting, kita diarah untuk agresif serta turun dan mesra dengan rakyat. Kerajaan juga akan teliti cadangan perwakilan(dan) Perdana Menteri juga beri jaminan yang setiap cadangan akan diperhalusi,” kata Mustapa yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Datuk Sohaimi Shahadan pula berkata presiden telah berjaya meniup semangat anggota UMNO selepas parti itu melepasi segala isu dalaman dan mahu kembali bekerja keras untuk PRU14.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula mengingatkan anggota parti bahawa mesej presiden jelas, meminta agar mereka tidak memikirkan mengenai jawatan atau pertandingan dalam parti sebaliknya menumpukan usaha memenangi hati rakyat.

“Yang penting sekarang fikirkan bagaimana hendak kita selesaikan masalah rakyat untuk memastikan kita menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pula akan memastikan amanat dan pesanan penting presiden dapat dihayati dan diterjemahkan dengan sebaik-baiknya di semua peringkat.

“Dalam konteks ini, UMNO Sabah akan sentiasa fokus kepada agenda perjuangan parti yang lebih besar iaitu membela nasib rakyat dan memacu pembangunan secara menyeluruh,” kata beliau yang turut mengulangi ikrar sentiasa setia kepada perjuangan parti dan kepimpinan dalam usaha memantapkan lagi gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.