Kiriman pada: Mon, Aug 10th, 2015

MOSTI – Industri Perlu Nyatakan Penggunaan Elemen Nano Pada Produk

Kongsi maklumat ini
Tags

vdkdfzAlor Setar – Syarikat yang mengeluarkan produk yang mempunyai elemen teknologi nano diminta menyatakannya pada label barangan sebagai usaha memperluaskan penggunaan produk itu di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Noorul Ainur Mohd Nur berkata, ada syarikat enggan memaparkan maklumat berkenaan pada produk mereka.

Beliau berkata, produk elektronik seperti lampu diod pemancar cahaya (LED) serta cakera keras dan barangan kosmetik yang dihasilkan di negara ini mempunyai elemen teknologi nano yang lebih mesra alam, tahan lama dan jimat.

“Pemain industri juga perlu memaklumkan berapa banyak penggunaan teknologi nano pada produk mereka bagi memudahkan kementerian mendapatkan maklumat berkaitan penggunaan teknologi itu.

“Di negara luar mereka telah membudayakan teknologi tersebut dan kementerian berusaha membudayakan penggunaan teknologi yang diperkenalkan pada 2000 itu kepada rakyat di negara ini,” katanya selepas merasmikan Festival Kreativiti dan Nano di Pusat Sains Negara Wilayah Utara.

Noorul Ainur berkata, kementerian mewujudkan Nano Technology Graphene Plan sejak dua tahun lepas bagi industri dan rakyat memahami serta menggunakan teknologi itu dalam kehidupan seharian.

Katanya, pihaknya akan memastikan produk menerusi sektor pertanian dan makanan, tenaga dan alam sekitar, perubatan dan elektronik akan menggunakan teknologi nano.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.