Kiriman pada: Tue, Aug 11th, 2015

MT UMNO Sokong Cadangan Percepat Persidangan Khas Parlimen

Kongsi maklumat ini
Tags

xgmKuala Lumpur – Gesaan supaya Persidangan Khas Parlimen dipercepatkan bagi mengisi kekosongan beberapa jawatan seperti Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) disokong Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim.

“Saya menyokong saranan dan cadangan untuk mempercepatkan mengadakan Persidangan Khas Parlimen bagi mengisi kekosongan jawatan termasuk Pengerusi baharu PAC.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Persidangan Khas Parlimen boleh diadakan dan tidak perlu menunggu Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas yang akan bermula pada 19 Oktober 2015,” ujar beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Berpendapat PAC perlu berfungsi semula secepat mungkin bagi menyelesaikan siasatan kes berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebarang kelewatan tegas beliau hanya akan menambahkan lagi spekulasi dan persepsi negatif terhadap pentadbiran kerajaan.

“Saya berpendapat, PAC mesti kembali berfungsi semula secepat mungkin untuk menyegerakan siasatan kes 1MDB sekaligus tidak menjejaskan proses memanggil saksi-saksi yang berkaitan untuk tujuan mendapatkan keterangan di mana sebarang kelewatan dalam perkara berkaitan PAC sedang menimbulkan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif kepada Kerajaan.

“Pada masa yang sama, keputusan menyelesaikan pelantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PAC juga akan mengukuhkan lagi institusi Parlimen dan keyakinan rakyat secara umumnya.

“Sememangnya, institusi Parlimen adalah badan yang neutral dan bebas serta tidak terikat dan tertakluk kepada mana-mana pihak lain. Yakni, selaras dengan Pembahagian Kuasa atau dengan izin, Separation of Powers tiga cabang utama, Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman,” jelasnya lagi.

Dan sementara menunggu keputusan kerajaan mengenainya, Irmohizam yang juga merupakan ahli Parlimen Kuala Selangor itu menegaskan kewajaran semua pihak untuk bersabar.

“Sehingga itu, adalah wajar semua pihak bersabar dan menunggu keputusan Kerajaan berkaitan dengan perkara ini dan apa yang penting, tidak kira pelantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PAC dilakukan dalam Persidangan Khas atau semasa Mesyuarat Parlimen akan datang, PAC mesti teruskan semua tugasnya termasuk melakukan siasatan secara telus dan adil mengikut lunas undang-undang,” tegas beliau.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.