Kiriman pada: Tue, Jan 12th, 2016

Mungkin guna identiti warga Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

KHALID ABU BAKAR / PERHIMPUNAN BULANAN BUKIT AMANKUALA LUMPUR: Polis masih menunggu laporan rasmi berhubung kematian dua pengebom bunuh diri kumpulan militan Negara Islam (IS) warga tempatan yang dipercayai membunuh lebih 30 orang dalam dua serangan berasingan di Syria dan Iraq minggu lalu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya menunggu laporan rasmi daripada rakan setugas di negara berkenaan. “Kita risau ada pihak menggunakan identiti warga Malaysia, kita tunggu laporan rasmi,” katanya. Dalam laporan akhbar New Straits Times (NST) semalam, Mohd Amirul Ahmad Rahim, dari Terengganu didakwa meletupkan bom yang diletak dalam keretanya ketika pertelagahan di kubu kuat IS, Raqqa, pada 29 Disember. Tindakan itu menyebabkan 21 pejuang Kurds terkorban manakala seorang lagi rakyat Malaysia, Mohamad Syazwan Salim, didakwa meletupkan jaket yang dipadatkan dengan bom bersama beberapa pengebom bunuh diri berdekatan pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher di Tikrit, Iraq, 3 Januari lalu. Kejadian itu menyebabkan 12 anggota polis terbunuh dan mencederakan 20 orang awam. Mengikut laporan NST yang memetik sumber, Amirul dikatakan meninggalkan keluarganya untuk menyertai IS di Syria pada Oktober 2014 dan menggunakan nama Abu Uqashah Malizi. Syazwan meninggalkan kampungnya di Selangor bersama adiknya, Muhamad Shazani, 28, untuk menyertai IS pada September 2014. Dikenali sebagai Abu Aydan, dia awalnya dilaporkan bekerja sebagai pencuci sebelum direkrut sebagai penembak hendap dan pengebom bunuh diri. Beliau terbunuh dalam misi bunuh diri pada 18 September tahun lalu di Bayji, utara Iraq, ketika pertempuran dengan angkatan Iraq. Laporan NST menyebut, dua beradik itu dilatih di penjara Khatibah Nusantara di Syria bagi misi mereka. Berikutan kejadian itu, seramai 17 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan IS terbunuh setakat ini dengan enam daripadanya adalah pengebom bunuh diri manakala bakinya terkorban dalam peperangan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.