Kiriman pada: Tue, Jul 7th, 2015

Murah Dan Beracun

Kongsi maklumat ini
Tags

e40aKuala Lumpur: Murah untuk nikmat sementara dengan menghisap rokok seludup.
Namun sebenarnya perokok berisiko tinggi mendapat pelbagai penyakit termasuk mati pucuk, serangan jantung dan strok yang jelas memerlukan perbelanjaan perubatan mahal.
Ini kerana rokok seludup tidak melalui kawalan kualiti diiktiraf kerajaan dan mengandungi nikotin dan tar dua kali ganda lebih tinggi berbanding rokok didaftarkan secara sah.
Pakar kesihatan reproduktif lelaki dan wanita Dr Ismail Tambi berkata, pengambilan rokok seludup menyebabkan penurunan syahwat dan kesuburan dalam tempoh singkat.
“Contohnya dari perspektif lelaki, kadar ereksi kemaluan hanya boleh bertahan kurang dua minit. Malah kandungan rokok tanpa pengawalan kandungan seperti dibenarkan berisiko menyebabkan ereksi kurang padat dan boleh menyebabkan mati pucuk.
“Mengurangkan perasaan ghairah dan teruja disebabkan penurunan hormon testosteron secara mendadak. Untuk orang muda perokok perlu diberitahu bahawa gangguan ereksi tak kekal lama akhirnya juga mendorong zakar makin lama makin mengecut,” katanya.
Menjelaskan lanjut, katanya, rokok seludup yang terisi kandungan kimia yang tinggi mengakibatkan masalah kualiti sperma, sekali gus penghalang kesuburan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sumber dan Penyelidikan Kanser (CaRE) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Latiffah Abdul Latiff berkata, kerajaan bertanggungjawab melakukan siasatan, tinjauan dan memantau kandungan nikotin dalam rokok yang dijual di pasaran supaya tidak menyebabkan ketagihan melampau.
“Analisis kesihatan terhadap rokok seludup mendapati ia menyebabkan risiko kesihatan tiga kali ganda berbanding rokok biasa, selain menyebabkan pelbagai penyakit kronik,” katanya.
Beliau berkata, rokok seludup menggandakan risiko kanser dalam kalangan perokok seperti kanser paru-paru, mulut, kerongkong, payu dara, perut dan usus.
“Justeru, penyelesaian alternatif seperti kempen berhenti membeli rokok seludup yang lebih kerap dan berkesan perlu dilaksanakan kerajaan dengan sokongan masyarakat,” katanya.
Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, statistik menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang rokok pada 1998.
Peningkatan jumlah perokok juga disumbangkan dengan lambakan rokok seludup di pasaran tempatan yang dijual dengan harga murah serendah RM3.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.