Kiriman pada: Mon, Feb 29th, 2016

Mustapa Rancang Pertemuan SPAD, Pemandu Kereta Sewa

Kongsi maklumat ini
Tags

bdfnkKOTA BHARU – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed merancang untuk mengatur pertemuan antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Gabungan Persatuan Pemilik dan Pemandu Kereta Sewa Kelantan (GPPPKSK) bagi membincangkan isu berkaitan teksi dari Thailand yang mengambil penumpang di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, ini berikutan masalah itu yang berlarutan sejak sekian lama sehingga menjejaskan pendapatan pemandu kereta sewa tempatan, khususnya di kawasan sempadan, ekoran tindakan pemandu teksi dari Thailand yang beroperasi di luar kawasan yang dibenarkan.

Beliau yang juga penaung persatuan itu berkata, pemandu teksi dari Thailand hanya dibenarkan beroperasi tidak lebih dua kilometer dari kawasan sempadan, namun ada yang menyediakan perkhidmatan melebihi daripada kawasan operasi, malah sehingga ke Kuala Lumpur.

“Kita ada undang-undang, tapi mungkin penguatkuasaan yang sedikit lemah. Saya akan aturkan satu pertemuan antara SPAD dan GPPPKSK bagi menyelesaikan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-8 GPPPKSK yang turut dihadiri presidennya Ramli Yaacob di sini, malam tadi.

Menurut Ramli, persatuan itu kini mempunyai seramai 1,899 anggota yang bernaung di bawah 21 persatuan kereta sewa di negeri ini.

“Bagaimanapun, kita menghadapi masalah kerana anggota persatuan semakin berkurangan kerana kekurangan generasi pelapis. Orang muda tak berapa minat nak jadi pemandu kereta sewa,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.