Kiriman pada: Sun, Dec 4th, 2016

Najib Akan Hadir Himpunan Solidariti Untuk Rohingya Sebagai Presiden UMNO

Kongsi maklumat ini
Tags

rohingyaKuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan menghadiri Himpunan Solidariti Untuk Rohingya di ibu negara esok sebagai Presiden UMNO.

Dalam ucapan penggulungan perbahasan usul di akhir Perhimpunan Agung UMNO 2016, Najib mengecam sekeras-kerasnya perbuatan penghapusan kaum itu sebagaimana yang dilaporkan berlaku di Myanmar.

Himpunan solidariti itu, katanya bukan bertujuan mencampuri urusan dalaman Myanmar sebagaimana kenyataan Pejabat Presiden Myanmar, sebaliknya ia bagi mempertahankan nilai kemanusiaan.

“Insya-Allah hari esok Najib Razak Presiden UMNO kan hadir. Saya tak akan berganjak seinci pun kerana bukan Najib Razak yang hadir, Najib Razak wakili 3 juta ahli UMNO, ini pendirian kita, inilah parti yang berjiwa besar,” katanya disambut dengan sokongan para perwakilan pada perhimpunan itu.

Sebelum itu Presiden UMNO bertanya kepada perwakilan, adakah patut beliau hadir dan mendapat jawapan “hadir!” secara tegas daripada para perwakilan.

Najib, yang juga Perdana Menteri berkata jika masalah ini tidak diselesaikan, Malaysia sendiri akan menghadapi masalah kebanjiran orang pelarian dari negara itu.

Mengikut rekod pada masa ini terdapat 56,000 Rohingya dan Myanmar pemegang kad UNHCR di negara ini dan ada lagi yang tiada dalam rekod, yang tidak diketahui jumlahnya, kata beliau.

Perhimpunan aman solidariti bagi melahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap isu Rohingya itu dijadual berlangsung di ibu negara esok, yang bakal dihadiri Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Najib berkata kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya sama sekali tidak melambangkan Komuniti ASEAN, yang antara lain mementingkan perpaduan.

“Kalau dia zalimi orang, bakar manusia hidup-hidup, wanita dirogol tanpa belas kasihan, anak-anak dicincang hidup ini bukan Komuniti ASEAN yang boleh kita terima.

“Rantau ASEAN tidak boleh bertolak ansur terhadap perbuatan zalim, kita minta mereka ubah sikap mereka. Ini pendirian UMNO, apa nak jadi…jadilah kita tetap dengan pendirian kita,” tegas Najib.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya berkata komitmen kedua-dua pemimpin yang menerajui parti politik Melayu dan Islam amat dihargai kerana mereka sanggup mengetepikan perbezaan dan matlamat politik demi kesejahteraan ummah.

“Kita tidak berhajat untuk campur tangan dalam hal ehwal mana-mana negara hatta di negara ASEAN (tetapi) sanggupkah atas nama agama dan keperimanusiaan kita membiarkan keadaan itu berlaku?,” katanya.

Menteri Dalam Negeri itu berkata perhimpunan itu bukan anjuran kerajaan, sebaliknya dipelopori 150 pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin terhadap penindasan dan pembersihan etnik Rohingya.

Ahmad Zahid turut menyeru seluruh perwakilan UMNO untuk menangguhkan kepulangan ke negeri masing-masing selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2016 hari ini untuk bersama-sama menyertai Himpunan Solidariti Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.