Kiriman pada: Tue, Jul 7th, 2015

Najib bukan malaikat tetapi manusia biasa

Kongsi maklumat ini
Tags

DS Abdul Hadi AwangKOTA BHARU: Sebarang tuduhan dan dakwaan salah laku yang dilemparkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu berasas dan dikemukakan saksi.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Najib bukannya malaikat tetapi manusia biasa dan tuduhan yang dilemparkan mestilah dikemukakan saksi yang mengesahkan dakwaan itu.

“Pendirian kita pendirian Islam. Kalau tuduhan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuduhan ke atas Najib, kena ada saksi juga…saksi yang adil.

“Kita ikut asas Islam, sikap yang baik kita sokong, yang tidak baik kita tentang,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat terawih di majlis ‘Madinah Ramadhan’ di sini malam tadi.

Abdul Hadi diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din pada Ahad yang dilihat mempertahankan Perdana Menteri daripada skandal terkini susulan pendedahan Wall Street Journal (WSJ) mengenai aliran wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi beliau.

Dr Haron telah menyifatkan dakwaan WSJ itu sebagai “tidak logik” dan menggesa siasatan dilakukan terlebih dahulu.

Katanya, jika seseorang individu hendak mengambil dana awam untuk tujuan tertentu, dia akan menggunakan akaun sulit dan bukannya menerusi akaun peribadi.

Jumaat lalu, WSJ memetik dokumen siasatan ke atas syarikat sarat hutang tersebut oleh pihak berkuasa Malaysia, yang menunjukkan berbilion ringgit dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib pada 2013.

Najib menafikan dakwaan itu dan kini berdepan gesaan supaya mengundur diri bagi membolehkan siasatan telus dilakukan.

Sebuah pasukan khas yang disertai Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan WSJ.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.