Kiriman pada: Thu, Nov 3rd, 2016

Najib Diberi Taklimat Kereta Api Berkelajuan Tinggi China

Kongsi maklumat ini
Tags

taklimatTianjin – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diberi taklimat mengenai Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) China oleh China Railway ketika dalam perjalanan dari Beijing ke Tianjin pada Khamis.

Najib, yang melakukan lawatan rasmi enam hari ke China sejak Isnin, menaiki HSR menuju ke Tianjin, sebuah bandar raya pelabuhan utama di timur laut China, terletak kira-kira 138.6km dari Beijing, untuk lawatan singkat.

Perjalanan dengan kereta mengambil masa hampir dua jam antara kedua-dua destinasi itu tetapi dengan HSR, yang berkelajuan 350km/j, masa yang diambil kurang dari 30 minit.

Perkhidmatan HSR di China diperkenalkan pada 2007, dan menjadi kaedah pengangkutan yang semakin popular dengan merekodkan penumpang tahunan lebih 1.1 bilion tahun lepas. Rangkaiannya meliputi 28 daripada 33 wilayah di negara itu dan lebih 20,000km laluan bagi Landasan Khusus Penumpang (PDL).

China Railway Engineering Corp (CREC) adalah antara beberapa syarikat pengendalian kereta api, termasuk Korea Railroad Corporation (Korail) dan East Japan Railway Company, yang mengintai peluang projek HSR bernilai RM50 bilion, meliputi laluan Kuala Lumpur-Singapura sejauh 350km, yang dijangka memendekkan perjalanan kepada 90 minit.

Projek itu yang bermula dari Bandar Malaysia, melalui Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri sebelum berakhir di Jurong East, Singapura, dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2026.

Ketibaan Najib di Stesen Keretapi Tianjin disambut Naib Datuk Bandar Majlis Perbandaran Tianjin, Zhao Haishan.

Beliau kemudian bertemu Setiausaha Jawatankuasa Perbandaran Tianjin daripada Parti Komunis China (CPC), Li Hongzhong di Tianjin State Guest House.

Najib dan Li, yang turut disertai Zhao, kemudian menyaksikan pemeteraian Perjanjian Operasi bagi projek Penyahgaraman Air Laut Bersepadu dan projek pembuatan garam antara syarikat milik Malaysia, XianDa Group dan Suruhanjaya Pentadbiran Kawasan Pembangunan Ekonomi-Teknologi Tianjin bagi projek loji penyahgaraman pelepasan sifar cecair bersepadu di sini.

Xianda diwakili Pengerusi XianDa (Tianjin) Seawater Resources Development Co Ltd Group Mah Sau Cheong, manakala Suruhanjaya Pentadbiran Kawasan Pembangunan Ekonomi-Teknologi Tianjin pula oleh Pengarah Jawatankuasa Urusan, Wang Sheng.

Menurut laporan, semasa majlis pecah tanah pada 2014 di Tianjin, XianDa Group merancang untuk melabur RMB15 bilion (RM8 bilion) untuk membuka sebuah loji penyahgaraman pelepasan sifar cecair bersepadu di sini.

Loji itu akan menghasilkan satu juta tan air bersih dan 600,000 tan air sulingan sehari.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.