Kiriman pada: Sun, Jan 15th, 2017

Najib Hadir Majlis Tahlil Allahyarham Tun Razak

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini menghadiri majlis tahlil buat ayahandanya yang juga Perdana Menteri kedua Malaysia Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Majlis itu, yang diadakan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini, turut dihadiri isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan bonda beliau Tun Rahah Mohamed Noah.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob juga menghadiri majlis tahlil itu yang diadakan sempena 41 tahun pemergian Tun Razak.

Allahyarham Tun Razak yang turut dikenali sebagai ‘Bapa Pembangunan Malaysia’ meninggal dunia pada 14 Jan 1976 akibat penyakit leukemia pada usia 53 tahun.

Sementara itu, Najib dalam catatan di laman Facebook beliau berkata: “Alhamdulillah, selesai majlis tahlil (buat) Allahyarham Ayahanda Tun Razak malam ini.

“Walaupun telah 41 tahun Allahyarham meninggalkan kita, Ayahanda tetap dekat di hati kami semua, dan saya juga amat bersyukur Ayahanda turut berada dalam ingatan dan doa rakyat Malaysia. Semoga roh Ayahanda sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah,” kata beliau.

Tun Razak mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman pada 22 Sept 1970.

Antara langkah pembangunan yang dilaksanakannya adalah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menekankan strategi serampang dua mata bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat untuk mewujudkan keharmonian dan perpaduan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.