Kiriman pada: Thu, Mar 19th, 2015

Najib mahu belia sertai bidang keusahawanan sosial

Kongsi maklumat ini
Tags

NAJIB RAZAK / PERSIDANGAN ANTARABANGSA PEMIMPIN MUDA 2015KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu belia menceburi bidang keusahawanan sosial sebagai sektor ekonomi baharu bagi menyumbang kepada keseimbangan sosioekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah mempunyai sumber yang mampu dan berkeupayaan menggerakkan bidang ini walaupun ia satu bidang baharu.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Belia dan Sukan (kbs) memainkan peranannya dalam menggalakkan generasi muda menceburi bidang keusahawanan sosial ini.
“Mereka yang menceburi bidang keusahawanan sosial ini juga bukan saja hanya mencipta kekayaan untuk diri sendiri, sebaliknya boleh berkongsi dengan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pemimpin Muda (ICYL) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan timbalannya, Datuk M Saravanan serta Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof.

Najib berkata, bidang keusahawanan sosial juga boleh membantu Malaysia untuk mencapai sasaran negara dengan ekonomi berpendapatan tinggi pada masa depan, sekali gus mengukuhkan komuniti ASEAN.

“Bidang keusahawan ini juga boleh menjadi kunci untuk mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya.

Sementara itu, Khairy pada sidang media selepas itu berkata, bidang ini bukan saja memfokuskan kepada mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya turut berperanan dalam membantu orang lain menikmati kekayaan secara bersama.

Paling menjadi keutamaan, katanya keusahawanan sosial ini turut berpotensi memastikan setiap perniagaan yang dijalankan lebih “sustainable”, selain berupaya mempamerkan imej tersendiri yang boleh dibanggakan negara.

ICYL yang dianjurkan Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES) akan berlangsung di PWTC membabitkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada 195 belia tempatan dan dari negara ASEAN dan antarabangsa.

Barisan penceramah berpengalaman dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Belanda, Pakistan, Singapura, Filipina dan Indonesia turut dijemput ke persidangan itu bagi menerangkan tentang amalan terbaik dalam bidang itu.

Enam bengkel selari akan turut dijalankan untuk aktiviti perbincangan dan praktikal yang akan dikendalikan agensi profesional iaitu Scope Group Malaysia, Genovasi Malaysia, Social Enterprise Alliance (SEA), MyHarapan, Myskills Foundation dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Pameran mengenai keusahawanan sosial juga akan diadakan membabitkan sekurang-kurangnya 60 organisasi bagi memaparkan projek kreatif dan inovatif mereka dalam bukti visual.

Sesi lawatan sekitar ibu negara akan turut dijalankan kepada peserta bagi menunjukkan contoh keusahawanan sosial di negara ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.