Kiriman pada: Fri, Dec 2nd, 2016

Najib Mahu Kelab UMNO Luar Negara Perjuang TN50

Kongsi maklumat ini
Tags

pejuangKuala Lumpur – Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Kelab UMNO Luar Negara (KULN) menyumbang pandangan dan memperjuangkan Transformasi Nasional 2050 (TN50), menurut KULN.

Presiden Majlis Presiden KULN Afiq Adham Muhammad Fadhil berkata, perkara itu disuarakan perdana menteri dalam pertemuan lebih setengah jam bersama wakil kelab itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Afiq Adham berkata pada pertemuan itu wakil KULN turut menyatakan kesediaan mereka kepada Najib untuk turun padang membantu mengubah perspektif generasi muda terhadap UMNO sekali gus memperjuangkan TN50.

“Perdana menteri kata TN50 adalah untuk kami generasi muda bukan untuk beliau dan beliau tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada TN50. Jadi beliau mahu kelab menyumbang idea untuk agenda TN50,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pada pertemuan itu perdana menteri menekankan kepentingan untuk KULN bergerak ke hadapan dalam perjalanan 30 tahun ke arah TN50.

Reezal Merican berkata pelajar terbabit turut menyampaikan pandangan bernas dalam pelbagai isu dalam dan luar negara.

“Ada yang bertanya mengenai bajet dan membuat perbandingan dengan negara lain yang saya sendiri tidak terfikir, menunjukkan mereka mempunyai pengetahuan dalam polisi antarabangsa dan boleh disandarkan sebagai harapan kepimpinan akan datang,” katanya.

Terdahulu, Najib yang disertai Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melancarkan Transformasi Digital KULN bagi menyatukan semua 80 buah KULN melibatkan 12,000 anggota di 15 buah negara agar lebih terarah dan tersusun.

Reezal Merican berkata Transformasi Digital itu merangkumi laman web, aplikasi mudah alih, majalah tahunan Legasi dan sistem kad keanggotaan yang lebih interaktif untuk anggota kelab itu dari serata dunia.

Katanya laman web dan aplikasi mudah alih akan menjadi platform hebahan dan laporan aktiviti KULN, berita terkini, maklumat anggota KULN dan medium interaksi untuk berkongsi pandangan mereka dengan kerajaan dan parti.

Kad keanggotaan KULN diperkenalkan bagi menarik minat lebih ramai pelajar Malaysia di luar negara untuk terlibat dalam kelab itu dengan pelbagai keistimewaan ditawarkan di samping menjadi identiti unik kepada pelajar terbabit.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.