Kiriman pada: Fri, Jan 29th, 2016

Najib nafi 3 calon pengganti Mukhriz ditolak

Kongsi maklumat ini
Tags

Najib RazakKUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menafikan beberapa calon yang dikemukakan sebagai pengganti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ditolak Jemaah Pemangku Sultan Kedah seperti yang diviralkan di media sosial. Tanpa menjelaskan secara terperinci, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dimaklumkan kemudian. “Tak ada, …tidak betul, …tiada penolakan, majlis berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini. Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas laporan di media sosial yang mendakwa tiga nama dikemukakan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah ditolak. BH Online hari ini melaporkan Najib dipercayai menyerahkan tiga nama calon Menteri Besar Kedah kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam pertemuan di Istana Darul Aman, di sini, pagi tadi. Memetik sumber, laporan itu menyebut, ADUN yang dicalonkan adalah Gua Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; ADUN Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan ADUN Bayu, Datuk Azmi Che Husin. Bagaimanapun, ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, yang disebut-sebut bakal menggantikan Mukhriz sebelum ini, tidak tersenarai. Ditanya sama ada Mukhriz dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Najib berkata perkara itu akan diumumkan kemudian. Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sebagai Presiden parti, beliau mengambil maklum perkembangan politik di Kedah dan memberikan pertimbangan serius terhadap perkara itu. “Kita dengar ada permasalahan tetapi ini diputuskan oleh Ketua UMNO Bahagian, …14 Ketua UMNO Bahagian memutuskan perkara ini, jadi sebagai presiden parti, saya kena ambil maklum dan saya kena juga memberi pertimbangan yang serius terhadap pendirian dibuat Ketua UMNO Bahagian,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.