Kiriman pada: Mon, Aug 17th, 2015

Najib nasihat jemaah haji jauhi anasir negatif

Kongsi maklumat ini
Tags

NAJIB RAZAK / JEMAAH HAJI 2015PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menasihati jemaah haji ke Tanah Suci supaya menjauhi sebarang anasir negatif yang boleh menjejaskan nama baik Malaysia. Najib berkata, jemaah harus mematuhi dan mengikuti segala peraturan serta undang-undang kerajaan Arab Saudi sepanjang menunaikan ibadah haji. “Jemaah haji perlu menggunakan kesempatan menjadi tetamu Allah SWT dengan sebaik-baiknya dan elakkan pembaziran masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan ke-6 jemaah haji Malaysia yang terdiri daripada 279 orang di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, hari ini. Kumpulan itu dijadual berlepas menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH8004, pada 12.30 tengah hari ini. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Duta Arab Saudi di Malaysia, Datuk Fahad Abdullah Hamad Al-Rashid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Najib berkata, jemaah haji perlu memenuhi masa dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat seperti berzikir, membaca ayat suci al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT. Beliau berharap umat Islam di Malaysia terus bersatu hati tanpa melihat kepada perbezaan yang boleh memecahbelahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Semalam (16 Ogos), kumpulan pertama seramai 450 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Prince Mohammad bin Abdulaziz di Madinah, Arab Saudi, pada 8.35 pagi waktu tempatan (1.35 tengah hari waktu Malaysia). Kumpulan pertama jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.30 pagi Sabtu (waktu Malaysia) dengan pesawat SV5701 milik Saudi Arabian Airlines. Jumlah jemaah haji Malaysia tahun ini adalah 22,320 orang yang akan dibawa menerusi 64 penerbangan menggunakan pesawat MAS dan Saudi Arabian Airlines. Penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci ialah pada 16 September manakala penerbangan pulang jemaah dijadual dari 29 September hingga 27 Oktober depan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.