Kiriman pada: Fri, Apr 10th, 2015

Najib Tegaskan Terbuka Untuk Dikritik

Kongsi maklumat ini
Tags

najib1Kuala Lumpur – “Saya bertanggungjawab kepada rakyat dan juga parti, bukan pada mana-mana individu,” tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai responnya terhadap kritikan-kritikan yang ditujukan terhadapnya kebelakangan ini.

Menyedari masih banyak penambahbaikan yang boleh dilaksanakan di dalam memacu kemajuan negara, justeru Najib menyatakan kesediaannya menerima sebarang kritikan dan akan terus bersikap terbuka mengenainya.

“Saya merasakan bahawa apa yang saya patut lakukan ialah teruskan sikap saya..maknanya saya terbuka. Setiap kritikan saya akan terima..

“Maknanya saya sedia melakukan penambahbaikan..Tapi kalau saya rasakan apa yang saya buat dapat sokongan dari rakyat dan parti, saya akan teruskan,” jelas beliau menerusi rancangan Edisi Khas Soal Jawab yang disiarkan TV3 malam tadi.

Mengulas mengenai kenyataan-kenyataan pedas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir terhadap pentadbirannya, Najib menjelaskan akan mempertimbangkan setiap kritikan tersebut sambil tidak membelakangkan tanggungjawabnya kepada rakyat dan juga parti.

Najib turut beberapa kali menegaskan yang dirinya bukan berkhidmat kepada mana-mana individu, sebaliknya adalah kepada rakyat dan juga parti yang mempunyai kuasa untuk menentukan kedudukannya sebagai pemimpin negara.

Mengenai hubungannya dengan Tun M, Najib memberitahu masa yang akan menentukannya.

“Saya akan timbang apa-apa kritikan Dr M..tetapi saya ingin menyatakan bahawa hakikatnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti..samada hubungan kita macam dulu atau tidak masa akan tentukan.

“Saya tetap hormati Tun M sepertimana saya hormati semua rakyat Malaysia..saya terbuka untuk mana-mana pihak yang mengkritik. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu.

“Saya serah kedudukan saya pada rakyat dan juga pada parti..bukan maknanya saya tidak hormat pada mana mana individu,” ujar beliau.

Menyifatkan kritikan-kritikan yang ditujukan kepadanya sebagai asam garam dunia politik, apa yang penting baginya adalah untuk terus memberikan perkhidmatan yang baik sebagai membalas kepercayaan yang diterimanya.

“Banyak pihak telah buat kenyataan secara terbuka di kalangan (parti-parti) komponen (Barisan Nasional) dan sebagainya.

“Jadi saya lihat bahawa parti ada bersama saya di belakang saya untuk terus memimpin parti dan juga negara.

“Saya boleh terima kritikan, tapi saya bukan berkhidmat pada mana-mana individu tetapi kepada parti dan juga negara,” tegasnya lagi.

Beliau pada masa yang sama turut mengingatkan pemimpin-pemimpin BN untuk mengelakkan daripada wujudnya perpecahan dalam yang boleh membawa kepada kekalahan di dalam pilihanraya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.