Kiriman pada: Sat, Dec 12th, 2015

Najib umum diskaun perkhidmatan ERL, Komuter

Kongsi maklumat ini
Tags

UMNO 2015KUALA LUMPUR: Pelajar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas akan menikmati diskaun 30 peratus bagi perkhidmatan ERL Transit, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, pengguna sektor Putrajaya bagi perkhidmatan ERL itu juga akan menikmati diskaun bagi pas bulanan perkhidmatan itu.

“Manakala bagi perkhidmatan KTMB Komuter, kita juga akan beri diskaun sebanyak 50 peratus kepada pengguna berumur 7 hingga 18 tahun termasuk pelajar universiti dengan hanya menunjukkan kad pelajar.

“Saya sudah meminta KTMB untuk membuat beberapa pengumuman mengenai diskaun lain yang akan ditawarkan kepada rakyat menerusi perkhidmatan awam itu,” katanya.

Beliau mengumumkan demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Mengenai kenaikan tambang ERL Ekspress yang diumumkan baru-baru ini, Najib menjelaskan kenaikan harga itu termaktub dalam perjanjian yang dimeterai pada 1977.

“Bila tambang ERL naik, rakyat marah…dari RM35 naik hingga RM55. Tapi tuan-tuan tak tahu, perjanjian itu ditandatangani pada tahun 1977. Konsesi jangka panjang.

“Dalam perjanjian dengan syarikat yang dikuasai YTL yang saya sifatkan sebagai perjanjian berat sebelah, setiap lima tahun, kadar tambang akan naik.

“Tetapi bila saya jadi Perdana Menteri, saya kata jangan naik. Saya terima masalah legasi atas bahu saya,” katanya.

Beliau berkata, keadaan ekonomi negara sebenarnya bergantung kepada tekanan luaran dan dalaman.

“Walaupun kita berdepan tekanan ekonomi dunia yang tidak menentu, minyak jatuh, ekonomi China tidak stabil tetapi kita harus bangga bahawa ekonomi Malaysia masih berkembang dengan baik dan antara tertinggi di dunia,” katanya.

Najib berkata, akibat penyusutan harga minyak mentah dunia, Malaysia juga turut menerima tempias dan perlu meneliti perbelanjaan negara dengan berhemah.

“Bila minyak jatuh, lebih RM30 bilion hasil negara berkurangan…bayangkan jika kita ada RM30 bilion. Macam-macam kita boleh buat tetapi dalam keadaan ekonomi yang genting ini, kita sedaya upaya untuk lakukan yang terbaik. Kita cuba dengar rintihan dan masalah rakyat,” katanya.

Mengenai isu kenaikan harga barang keperluan, Najib berkata perkara itu perlu ditangani dengan dengan bijaksana dan memerlukan perhatian serta usaha berterusan daripada pelbagai pihak.

“Kita mesti tangani perkara ini dengan dua benda. Satu, gaji kakitangan perlulah naik kerana kita menjurus kepada negara maju.

“Jika kita mahu negara maju, pendapatan juga harus bertambah. Sebab itu kita laksanakan gaji minimum. Tetapi jika gaji naik, produktiviti juga haruslah bertambah,” katanya.

Selain itu, beliau juga menggesa Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, supaya menjalankan pemeriksaan kawalan harga secara konsisten.”

KPDNKK harus turun dan pergiatkan lagi penguatkuasaan ‘underground’ dalam mengawal harga barang kawalan supaya peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.