Kiriman pada: Tue, Aug 11th, 2015

Nana Mahazan ‘sailang’ Ayda Jebat?

Kongsi maklumat ini
Tags

11nana1.transformedKUALA LUMPUR: Sebelum Nana Mahazan ditawarkan menjadi hos diari Akademi Fantasia (AF) 2015, ia terlebih dahulu ditawarkan kepada pelakon popular, Ayda Jebat.

Namun rezeki lebih menyebelahi ibu kepada dua anak itu dan di saat diajukan perkara itu, Nana dikatakan tidak langsung mengetahuinya.

“Dia (Ayda) pun dari pertandingan realiti yang sama. Saya kurang pasti mengenai tawaran yang ditawarkan kepadanya untuk mengendalikan AF2015.
“Saya anggap ini sudah rezeki saya. Minta maaflah kalau ada yang nak tengok dia tetapi kena tengok muka saya. Saya berbesar hati untuk kesempatan ini. Nampaknya senior dapat kali ini,” kata Nana. Mengenai mandatnya sebagai hos Diari AF2015, Nana mengakui amat teruja untuk menceriakan program realiti yang pernah mengangkat bakatnya sekitar 12 tahun lalu. Sambil berseloroh, Nana mengatakan dia bukannya hadir atas tiket bertanding sebagai peserta sebaliknya mahu mengembalikan semula nostalgia serta menghangatkan program pencarian bakat popular itu. “Gembira saya bukan kepalang untuk menjadi sebahagian daripada AF kali ini. Malah ketika sidang media diadakan pun dan saat mendengar lagu tema AF “Menuju Puncak” pun saya sudah rasa sebak. “Ia memori indah dalam hidup saya kerana menjadi sebahagian daripada AF yang pertama. 12 tahun lalu dan kini, saya memang Nana Mahazan yang berbeza. Saya kini sudah ada dua anak. “Peluang mengendalikan diari AF2015 pastinya memberikan terjemahan tersendiri dan ia sangat berhubung kait dengan diri. “Mungkin itu juga antara sebab Astro pilih saya menggalas tanggungjawab ini. Saya mengambil pendekatan selesa menjadi diri sendiri untuk kerja ini. Saya tak reti nak jadi orang lain. Mungkin sebab itu saya tak berlakon. “Saya hanya boleh jadi Nana Mahazan yang sama. Dari zaman AF hinggalah saya jadi penyampai radio dan pengacara, perangai saya masih tetap seperti dahulu. Rupa barangkali sudah tidak semuda belia seperti dahulu. Usia saya pun kian meningkat,” katanya. Sementara itu, Ayda yang ditanya mengenai hal itu mengakui ada menerima tawaran berkenaan namun ditolak kerana terikat dengan komitmen lain yang terlebih dahulu dipersetujui. Bagi pelakon yang terkenal dengan tagline Muah Ciked itu menganggap ia bukan rezekinya kali ini. “Terkejut juga kerana mendapat tawaran mengendalikan diari AF 2015 pada awalnya kerana kita semua tahu program realiti ini sangat diminati ramai dan saya sendiri diperkenalkan menerusi pertandingan yang sama. “Kebanyakan yang mengendalikan program itu memang diketahui cukup hebat sebagai hos. Saya teruja dengan tawaran itu kerana sebagai bakat baharu ia seperti peluang keemasan. “Tapi, disebabkan saya sudah perlu memberi komitmen lain, saya tak dapat menjayakannya. Tapi tak mengapa, siapa tahun tahun depan tawaran itu mungkin akan berkunjung lagi kepada saya,” kata pelakon Rindu Awak 200 % dan M A I D itu. Rangkaian program AF2015 bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Program pengenalan Tirai AF2015 ke udara selama dua episod bermula 1 hingga 2 Ogos lalu jam 9 malam. Selain itu, rutin seharian para pelajar menjalani kehidupan di akademi juga dapat ditonton melalui liputan harian Diari AF2015 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam bermula pada 3 Ogos. Manakala Konsert Mingguan AF2015 pula bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam bermula 9 Ogos. Selain itu, AF2015 juga sekali lagi memberi kepercayaan kepada Zizan Razak dan Faizal Ismail untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengacara Konsert Mingguan. Sementara itu untuk musim ini, buat pertama kalinya AF2015 akan memperkenalkan format pemarkahan yang diadili berdasarkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau AFUNDI dan undian penonton menerusi laman web rasmi di www.af.com.my. Juara AF2015 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kemudian. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai RM30,000 dan trofi. Manakala pemenang tempat ketiga, keempat dan kelima pula masing-masing akan memenangi wang tunai RM20,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi dan hadiah sampingan. Selain itu, AF2015 juga sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan Nouvelles Visages selaku Penaja Platinum dengan kerjasama Hotlink dan vivo Smart Phone sebagai Penaja. ERA fm juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi. AF 2015 juga turut disokong oleh Astro Gempak selaku Portal Hiburan Rasmi. Konsert pertama lalu menyaksikan empat peserta – Nurdalila Mohamed Yusof (Dalila, 23), Sharmaine Arissa Shahrudin (Arisa, 21), Suili George (Wily, 28) dan Khairul Mohd Syahid Abu Hassan (Syahid, 27) gagal diserap masuk ke dalam Konsert Penentuan AF2015 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu. Ini sekali gus menyaksikan hanya 12 yang terbaik iaitu Sharifah Nabilah Syed Azhar (Ifa, 21), Nurnajmi Nabila Samsaidi (Bila, 19), Ang Hui San (Rachel, 23), Nurhusnina Haziqah Naharuddin (Ziqa, 19), Aziah Awang (Aziah, 21), Allyssa Joanne Anak Jambi (Lisa, 22), Anthonasius Jadil (Openg, 23), Mohammad Sufie Rashid (Sufi, 24), Syameel Aqmal Mohd Fodzly (Syamel, 22), Muhammad Ikhwan Alif Salim (Iqwan, 20), Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman (Sharul, 19) dan Muhammad Amyroulfarouk Mohd Nor (Faroq, 23) mara sebagai pelajar AF2015.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.