Kiriman pada: Sun, Feb 12th, 2017

‘Nasihat kerana sayangkan anak’

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Penyanyi Datuk Zainalabidin, tidak terasa hati dengan tindakan anaknya, Timur Gabriel yang meluah rasa di laman sosial, Instagram susulan kenyataannya yang tidak menyalahkan zuriatnya itu kerana terikut-ikut dengan gaya hidup Barat.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hijau itu menyifatkan, luahan anak keduanya itu sebagai keterbukaan seorang gadis yang yang sedang membesar tetapi enggan menuding jari menyalahkan sesiapa.

Zainal berkata, tegurannya sebelum ini lebih terarah kepada nasihat dan bukan bertujuan memburukkan bekas isteri dan anaknya.

Teguran itu bagaimanapun, disalah anggap Timur yang menyifatkan bapanya sengaja menggunakan media untuk menyerang ibunya.

“Biasalah budak-budak. Sebagai bapa, saya cuma menasihatinya kerana ayah mana yang tidak sayangkan anak? Apa yang diluahkannya itu tidak benar.

Kenapa perlu saya memburukkan ibunya?,” katanya.

Zainal dalam satu temu bual sebelum ini, mengeluarkan kenyataan tidak pernah menyalahkan anaknya yang terikut-ikut dengan gaya hidup kebaratan kerana sejak kecil Timur dibesarkan bekas isterinya, Natasha Gabriel Abdullah yang juga seorang mualaf.

Sementara itu, Timur dalam satu entri terbaharu di Instagram menyatakan, dirinya tidak pernah berniat mahu menyerang ayahnya, sebaliknya berkecil hati apabila Zainal memberikan kenyataan seperti itu secara terbuka.

“Saya tidak bertujuan memuat naik entri sebelum ini untuk menyerang ayah, cuma kenyataan ayah itu sangat menyakitkan hati saya dan ibu, disebabkan itu, saya menaikkan entri kenyataan balas bagi mempertahankan diri kami.

“Bagi mereka yang menganggap saya bertindak mengikut perasaan, saya terlebih dulu bertanya ayah mengenai kenyataannya itu.

Tetapi saya diabaikan, malah ditinggalkan tanpa sebarang penjelasan dan saya terpaksa bangkit untuk menjernihkan keadaan,” katanya.

Zainal dan Gabriel mendirikan rumah tangga pada 24 Mac 1987 dan dikurniakan dua anak iaitu Mikhail, 24 dan Timur, 22. Pasangan itu, bagaimanapun berpisah pada Disember 2000.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.