Kiriman pada: Tue, Mar 3rd, 2015

NFCorp: Rafizi akan dipanggil beri keterangan

Kongsi maklumat ini
Tags

rafizi_ramli_16072013_840_559_100KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang dikemukakan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Saman itu difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Saifuddin Nasution berhubung pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City, Bangsar.

Peguam Syed Ismat Syed Muhammad, yang mewakili Mohamad Salleh dan NFCorp, ketika ditemui pemberita berkata selain Mohd Rafizi, Mohamad Salleh dan Nurul Izzah, yang selesai memberi keterangan pada 5 dan 7 Januari lalu, akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam kes saman itu.
Syed Ismat berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng turut menetapkan 15 April untuk pengurusan kes ketika kes berkenaan disebut di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam Joshua Kevin yang mewakili Nurul Izzah dan Saifuddin selaku defendan.

Pada 4 Februari lalu, Hakim Hue membenarkan permohonan Mohamad Salleh untuk meminda jawapan kepada pernyataan pembelaan kedua-dua defendan dengan memasukkan butiran berniat jahat dalam kes saman fitnah itu.

Pada 24 Disember 2013, Mohamad Salleh dan syarikatnya NFCorp memfailkan saman dengan mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan berhubung pendedahan Rafizi, ketika itu Pengarah Strategi PKR, mendakwa Mohamad Salleh membeli lapan unit hartanah KL Eco City menggunakan dana yang diperuntukkan kepada NFCorp.

Kenyataan Nurul Izzah itu disiarkan Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa kenyataan Nurul Izzah itu membawa maksud beliau dan keluarganya menyalahgunakan dana NFCorp untuk membeli unit hartanah berkenaan untuk kegunaan sendiri.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.