Kiriman pada: Mon, Dec 28th, 2015

NGO akan dijemput bersemuka Perdana Menteri luah tentang kos sara hidup

Kongsi maklumat ini
Tags

Sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi akan ditubuhkan bagi membincangkan cadangan dikemukakan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengenai peningkatan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu yang dijadualkan pada Januari depan.

“Ini adalah merupakan kesinambungan, sebab Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet yang memberikan fokus kepada kos sara hidup dan saya memberikan fokus kepada kesinambungan mesyuarat berkenaan.

“Namun, kita tambah di peringkat awal High Level Committee (HLC) ini sebelum mesyuarat jawatankuasa itu dijalankan. Ertinya, kita akan meneliti melalui kerjasama enam menteri berkaitan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Deklarasi Prioriti 2016 ‘Ekonomi Keutamaan Kita’ anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YSDM) di sini hari ini.

Menteri yang terlibat ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Menerusi jawatankuasa ini, saya akan menjemput pengerusi NGO untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatakan sendiri luahan dan pandangan berhubung isu kos sara hidup,” ujar beliau.

Mengulas gesaan NGO agar separuh daripada peruntukan untuk NGO dalam Bajet 2016 disalurkan kepada 50 NGO dalam YDSM, beliau menjelaskan, kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan berkenaan kerana terdapat ribuan pertubuhan bukan kerajaan di seluruh negara.

“Peruntukan RM160 juta yang diumumkan Perdana Menteri semasa Bajet 2016, adalah untuk diagihkan kepada ribuan NGO. Ia bukan hanya untuk 50 NGO sahaja.

“Saya ingin jelaskan, peruntukan itu adalah disalurkan kepada NGO yang menjalankan aktiviti mengikut kriteria tertentu dan ia akan diagihkan mengikut aktiviti yang dijalankan,” jelas beliau.

Beliau menyerahkan kepada Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mencari kaedah yang sesuai dalam pembahagian peruntukan berkenaan.

“Perbincangan akan dilakukan di pihak Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) supaya ada kos keberkesanan ke atas apa yang diumumkan Perdana Menteri itu,” jelas Ahmad Zahid.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.