Kiriman pada: Wed, Feb 15th, 2017

Nik Amar Cabar Mahfuz Keluar PAS

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Bharu – Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mencabar Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar supaya keluar parti, daripada terus menerus menghentam parti berkenaan sejak kebelakangan ini.

Tiada kewajaran untuk bekas naib presiden PAS itu bersama parti, namun pada masa sama mengkritik dan menghentam parti sendiri.

“Saya cadangkan dia (Mahfuz) keluar sahaja daripada parti, jangan jadi macam sekarang iaitu duduk dalam PAS, namun pada masa sama serang dan kritik PAS secara berterusan tanpa arah tuju.

“Saya nak persoalkan kedudukan Mahfuz, buat apa lagi dia (Mahfuz) duduk lama-lama dalam PAS sekiranya beliau tidak mampu menerima perjuangan yang dibawa oleh PAS.

“Malah, sebarang kenyataan yang dikeluarkan Mahfuz sejak kebelakangan ini tidak diambil kira oleh parti kerana bagi kami tidak relevan langsung, sekiranya tidak berpuas hati, sila keluar,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Mahfuz meminta PAS membuat pertimbangan untuk menarik diri dari Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui PKR.

Ia berikutan pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara secara jelas memutuskan hubungan kerjasama dengan PKR.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar menyelar kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan PAS sebuah parti tidak efektif dalam politik negara sekiranya tidak bekerjasama dengan mana-mana parti.

“Untuk pengetahuan Tun, PAS sudah lama bersendirian dan sekiranya Tun merasakan kita sebuah parti tidak efektif, tidak perlulah menyuruh kita menyertai pakatan pembangkang.

“Kita bawa jalan masing-masing dan ini jalan yang kita pilih. Itulah sikap Tun yang sebenar, dia merasakan hanya dia individu yang pandai dan pada masa sama mahu orang lain mengikut rentaknya,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.