Kiriman pada: Thu, Jul 2nd, 2015

‘Ops Sejuk’: Perkasa Harap Tindakan Penguatkuasaan Tangani Rasuah Konsisten

Kongsi maklumat ini
Tags

4Kuala Lumpur – Kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 21 individu yang disyaki terlibat dengan rasuah baru-baru ini dipuji oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Menurut Setiausaha Biro Pemantauan dan Integritinya, Azrul Akmal Saharudin, penahanan yang dilakukan melalui operasi bersepadu dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu telah sekaligus menunjukkan keseriusan SPRM memerangi gejala rasuah di negara ini.

“Perkasa mengucapkan jutaan tahniah kepada SPRM kerana tangkas dan lincah berjaya menahan 21 individu yang disyaki bersalah melakukan jenayah rasuah melalui operasi bersepadu dengan MKN semalam (Ops Sejuk) sekaligus menunjukkan keseriusan mereka di dalam usaha untuk memerangi gejala rasuah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Susulan daripada kejayaan tersebut, Perkasa ujar beliau berharap agar operasi yang seumpamanya dapat dijalankan secara besar-besaran di masa hadapan.

Menurutnya lagi, tindakan penguatkuasaan seperti yang dilakukan itu perlulah dilaksanakan secara konsisten dan tidak sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ semata-mata.

“Perkasa berharap operasi seperti ini dijalankan secara besar-besaran di masa depan sepertimana pernah dilakukan SPRM di Sarawak (Ops Gergaji) yakni bukan hanya memantau dan menagkap ‘ikan-ikan bilis’ tetapi juga mengenal pasti kepala-kepala yang menjadi dalang kepada aktiviti penerokaan kebun secara haram di Cameron Highland.

“Perkasa juga berharap tindakan penguatkuasaan oleh mana-mana agensi penguatkuasa di negara ini tidak dipengaruhi oleh sensasi media. Dengan erti kata lain, penguatkuasaaan tidaklah dilakukan hanya apabila isu ini didedahkan oleh media.

“Kita tidak mahu agensi-agensi penguatkuasa ini diberikan persepsi yang buruk oleh rakyat bahawa mereka hanya melakukan kerja apabila ‘diketuk’. Kita tidak mahu rakyat berkata bahawa agensi-agensi penguatkuasaan ini selagi tidak ‘diketuk’ dan selagi isu ini tidak dimainkan di media berminggu-minggu, maka tindakan penguatkuasaan tidak dilakukan,” ujar beliau.

Selain itu Ahli Dewan Tertinggi Perkasa itu turut menggesa kerajaan agar dapat mempertimbangkan desakan Perkasa sebelum ini supaya SPRM diberikan kuasa untuk membuat pendakwaan terhadap individu-individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti rasuah.

“Sepertimana desakan-desakan daripada Perkasa sebelum ini khususnya daripada Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa, kita merasakan sudah tiba masanya SPRM diberikan kuasa mendakwa pesalah-pesalah ini kerana peranan SPRM sebagai sebuah suruhanjaya yang melapor terus kepada Parlimen haruslah holistik yakni menyeluruh bukan hanya terbatas kepada penyiasatan dan pemantauan sahaja.

“Rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah ibu kepada segala kejahatan. Perkasa menyokong sepenuhnya tindakan tegas dan berani yang ditunjukkan SPRM dan mahukan semua agensi-agensi penguatkuasaan yang lain untuk mencontohinya,” tegasnya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.