Kiriman pada: Wed, Nov 30th, 2016

Orang Muda Sandaran UMNO Jayakan Transformasi

Kongsi maklumat ini
Tags

orangmusaKuala Lumpur – Pucuk pimpinan UMNO perlu mengetengahkan lebih ramai pemimpin pelapis di dalam parti bagi menjayakan transformasi dan meneruskan perjuangan parti, kata seorang pemimpin veteran UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata langkah itu amat penting bagi memastikan UMNO terus relevan di hati pengundi terutamanya dalam kalangan anak muda, sekali gus mengekalkan kuasa di Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Orang muda mahukan perubahan yang mengikut selera mereka. Kita kena ikut kehendak orang muda kerana masa depan itu mereka yang punya, bukan kita (veteran) yang punya…masa kita sudah berlalu.

“Orang muda mahukan penyertaan dalam pemerintahan dan selok belok pentadbiran, maka kita kena beri ruang dan kesempatan untuk mereka melibatkan diri…kita sebagai senior perlu menjaga perasaan mereka dan sedia berubah,” katanya kepada Bernama.

Saranan beliau selari dengan usul Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin supaya 30 peratus calon PRU14 adalah calon muda.

Tengku Razaleigh berkata UMNO perlu selaraskan jentera dan kepimpinan mereka dengan menyesuaikan diri di sisi golongan muda serta kembali kepada semangat dan dasar perjuangan UMNO yang sebenar, atau bersedia ‘ditinggalkan’ mereka.

“Ramai orang muda tidak suka UMNO sekarang ini…kalau rakyat sudah jemu dan putus asa dengan apa yang diperjuangkan kita, perangai kita, lagak kita, mereka akan tolak kita, dan apabila mereka tolak, segala apa yang diharap oleh orang ramai untuk kita hasilkan melalui perjuangan kita akan terbengkalai.

Pada masa sama, Tengku Razaleigh berkata UMNO bahagian juga tidak seharusnya terlalu selesa dengan seorang pemimpin yang sama serta perlu bersedia untuk menerima dan memberi peluang kepada pengganti terutamanya dalam kalangan golongan muda.

“Seperti saya, saya sudah terlalu lama dalam arena politik, sebahagian besar kehidupan saya. Menjadi anggota Parlimen sudah 54 tahun dan Anggota Dewan Undangan Negeri selama lima tahun…bagi saya dah cukup dah itu.

“Biarlah tempat saya diambil orang lain…tetapi bahagian yang tidak mahu, kalau tidak mereka mahu bubar…saya tidak mahu itu terjadi maka saya terpaksa teruskan…sedangkan saya mahu bersara ketika saya boleh berjalan lagi, bukannya ketika saya duduk di atas kerusi roda,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata pemimpin parti jangan angkuh dan menayang kekayaan serta mengharapkan rakyat yang datang kepada mereka, sebaliknya mereka yang perlu turun berjumpa rakyat secara kerap.

“UMNO masih mempunyai sokongan yang kuat daripada masyarakat luar bandar kerana mereka masih bergantung harap dengan UMNO. Namun UMNO tidak boleh hanya berharap kepada mereka semata-mata, UMNO perlu perbetulkan strategi dan taktik demi kelangsungan parti secara optimum,” katanya.

Beliau berkata perhimpunan kali ini seharusnya sudah dapat mengenal pasti strategi yang perlu diambil bagi menggerakkan jentera parti menghadapi pilihan raya umum.

“Tiada kesalahan yang tidak dapat diperbaiki maka perhimpunan agung seharusnya digunakan sebaik-baiknya kerana ia adalah platform terbaik untuk perwakilan mengemukakan cadangan bernas kepada pucuk pimpinan dalam persiapan PRU14,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.