Kiriman pada: Fri, Feb 12th, 2016

Pahlawan Negara Meninggal Dunia

Kongsi maklumat ini
Tags

alfatihah1Kuala Lumpur – Pahlawan negara, Kapt (B) Hamid Awang yang pernah bertempur menentang komunis di Sarawak ketika mempertahankan tanah air pada tahun 1973, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini.

Anak sulungnya, Eranza, 43, berkata ayahnya Hamid, 68, meninggal dunia pada 10.50 pagi ini akibat kegagalan buah pinggang.

“Ayah telah mendapatkan rawatan di hospital itu sejak Isnin lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Khalid Al-Walid di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Negeri Sembilan selepas solat Jumaat.

Hamid pernah menerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa ketika berusia 26 tahun.

Pingat berkenaan dikurniakan kepadanya sebagai tanda menghargai keberanian dan kegagahan beliau sewaktu mengetuai kumpulan yang terdiri daripada lapan anggota, memburu pengganas komunis di Bahagian Pertama Sarawak.

Pasukan itu menemukan satu perkhemahan musuh yang kekuatannya tidak diketahui. Dengan tiga anggota saja, Hamid menyerbu perkhemahan berkenaan setelah kepungan dibuat.

Ketika itu Hamid yang berasal dari Terengganu bertugas dengan Rejimen Kedua Askar Melayu Diraja dan bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1975.

Pingat itu adalah anugerah tertinggi dalam darjah-darjah perkasa dan yang paling kanan dalam senarai keutamaan anugerah Persekutuan.

Bintang kehormat itu dikurniakan kepada individu yang menunjukkan keberanian luar biasa. Ia disertai dengan elaun.

Menurut laman web Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, sehingga kini 24 individu dikurniakan pingat itu sejak tahun 1963.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.