Kiriman pada: Mon, Jan 18th, 2016

Panel Kewangan Kemanusiaan PBB Serah Laporan

Kongsi maklumat ini
Tags

hjkcgKUALA LUMPUR – Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menyiapkan laporan berhubung kaedah menangani kekurangan AS$15 bilion (RM66.37 bilion) bagi pembiayaan program kemanusiaan serata dunia.

Laporan bertajuk ‘Too Important to Fail – Addressing the Humanitarian Financing Gap’ dilancarkan Dubai, Ahad dan laporan tersebut disampaikan kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, yang melantik panel tersebut pada Mei tahun lepas.

Majlis itu dihoskan oleh Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dan Permaisuri, Puteri Haya Bint Al Hussein, pengerusi Bandaraya Kemanusiaan Antarabangsa.

Dalam kenyataan PBB, Ban berkata beliau meminta panel itu untuk mengenal pasti kaedah dalam menyelesaikan masalah jurang antara keperluan yang semakin meningkat dengan sumber-sumber yang sedia ada.

Sementara itu, Sultan Nazrin dan rakan pengerusi bersama, Kristalina Georgieva berkata jurang AS$15 bilion adalah jumlah wang yang besar tetapi ia tidak mustahil untuk mengisi kekurangan itu dalam dunia yang menghasilkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berjumlah AS$78 trilion.

“Menutup jurang itu bermakna tiada siapa yang perlu mati atau hidup tanpa maruah akibat kekurangan wang dan kemenangan untuk umat manusia pada masa yang amat memerlukan,” titah Sultan Nazrin dan Georgieva, yang merupakan naib presiden Suruhanjaya Eropah dari Bulgaria.

“Dalam proses menyiapkan laporan itu, panel tersebut telah menjalankan ratusan temu bual dengan semua lapisan ekosistem kemanusiaan termasuk mesyuarat dengan orang-orang yang terjejas dalam krisis berterusan.

“Titik permulaan kami adalah berdepan dengan fakta dan angka – 125 juta orang memerlukan bantuan iaitu AS$25 bilion setahun bagi membiayai mereka tetapi di sebalik itu, keperluan mengatasi sumber secara berterusan,” kata kedua-dua pengerusi bersama itu.

Tugas panel tersebut adalah untuk memaklum dan membentuk objektif Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia (WHS) yang dijadual berlangsung di Istanbul, Turki pada 23 dan 24 Mei ini.

“Hasrat kami mengenai laporan ini untuk membawa ke hadapan supaya WHS di Istanbul nanti ia akan melibatkan penyertaan ketara oleh sistem kemanusiaan global bagi melakukan perubahan yang diperlukan bagi memastikan keperluan manusia yang terjejas sentiasa dapat dipenuhi dengan secukupnya,” titah Sultan Nazrin dan Georgieva.

Ban menemui anggota panel bagi mengucapkan terima kasih yang disifatkan sebagai sumbangan penting ke arah membentuk keutamaan bagi WHS.

“Berdasarkan tajuk laporan ini, kita tidak boleh gagal. Kami memerlukan pemikiran yang segar dan keazaman untuk mengambil keputusan yang berani. Saya percaya panel ini telah mengambil peluang ini untuk menyudahkannya,” kata Ban.

Beliau berkata dalam masa beberapa minggu ini beliau akan menerbitkan laporannya dan visi untuk agenda masa depan kemanusiaan dengan menggunakan laporan yang cemerlang ini bagi membentuk pemikiran penting ini.

Setiausaha Agung PBB itu menyatakan keperluan yang dicipta dengan permintaan bantuan kemanusiaan telah terus meningkat secara mendadak.

“Kita hidup di zaman krisis-krisis mega. Tetapi, seperti laporan ini dengan jelas menunjukkan jurang dalam pembiayaan program kemanusiaan merupakan masalah yang boleh diselesaikan,” katanya.

Laporan itu tertumpu kepada tiga bidang bagi menangani jurang pembiayaan – mengecutkan keperluan, mengembangkan asas sumber untuk pembiayaan dan meningkatkan kecekapan melalui rundingan tawaran yang lebih besar antara rakan-rakan kemanusiaan utama.

Antara syor-syor termasuk:

*Mengelaskan semula kriteria kelayakan Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA) Bank Dunia supaya pembiayaan mengikut kepada orang yang memerlukan da bukan berdasarkan negara.

“Jumlah peruntukan yang jauh lebih tinggi kepada bantuan pembangunan rasmi yang ditujukan kepada keadaan kecemasan yang rapuh dan berpanjangan, berorientasikan ke arah membina daya tahan dan mengurangkan kerapuhan.

*Meningkatkan tiga kali ganda jendela respons krisis IDA dan mengembangkan kapasiti pembiayaan bagi kecemasan di institusi kewangan pembangunan yang lain.

*Kerajaan secara sukarela mendaftar mekanisme ‘levi perpaduan’ di WHS untuk membiayai bantuan kemanusiaan.

*Menyalurkan kewangan sosial Islam dan instrumen lain kepada usaha-usaha kemanusiaan.

*Penderma dan organisasi berusaha bersama-sama untuk mengubah amalan kerja masing-masing dalam rundingan tawaran bantuan yang lebih besar.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.