Kiriman pada: Thu, Jan 14th, 2016

Pangkat, harta bukan bekalan kubur

Kongsi maklumat ini
Tags

ba_02.1Hidup ini bukan soal senang atau susah tetapi bagaimana untuk mendapat rahmat dan bantuan Allah SWT dalam setiap sudut kehidupan. Walau apapun keadaan kehidupan, kesabaran dan syukur adalah dua perkara yang sangat dituntut untuk kita sentiasa istiqamah melaksanakan kewajipan sebagai seorang Mukmin. Menerusi program Islam Itu Indah yang bersiaran setiap Rabu, jam 10.15 pagi di IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhammad Juoi mengingatkan jangan apabila sudah kaya raya dan hidup senang baru hendak berbuat baik kepada orang lain. Katanya, senang atau susah, bahagia atau derita bukan ukuran seseorang itu menjadi manusia yang baik. Kebaikan adalah apabila kita sentiasa membangunkan kualiti diri dengan bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Manusia yang taat perintah Allah SWT faham ajaran agama dan tabah dengan setiap ujian yang Allah SWT berikan. Dugaan serta cabaran akan membangunkan kualiti hidup dan menjadikannya Mukmin yang tinggi akhlak. Kekayaan perlu dimanfaat Pahrol berkata, jangan sesekali menjadikan kesenangan hidup dan kekayaan sebagai ukuran untuk berbuat baik kepada orang lain. Jangan sesekali hanya apabila kita bahagia atau mempunyai pangkat tinggi baharu mahu berbuat baik dengan orang lain. Untuk menjadi seorang Mukmin yang baik bukan kerana pangkat atau harta banyak, tetapi kemampuan membina kualiti diri yang tinggi. Mengambil kisah sahabat Rasulullah SAW iaitu Anas bin Malik yang juga pembantu Baginda berkata, Rasulullah SAW tidak pernah mengkritik atau memprotes terhadap sesuatu perkara kerana Baginda sentiasa meletakkan Allah SWT di dalam hatinya. Itulah rahsia yang menjadikan Baginda SAW seorang yang amat tenang dalam apa sahaja situasi menimpa Baginda. Diriwayatkan, berlaku perselisihan antara keluarga Anas dan keluarga Rasulullah SAW, tetapi Baginda tidak pernah memberi reaksi negatif akan perkara berkenaan, sebaliknya menyerahkan sahaja apa yang terjadi itu sebagai kehendak serta takdir daripada Allah SWT. Sesungguhnya, apabila Allah SWT membantu seseorang Mukmin, apa sahaja halangan yang dilalui oleh manusia akan menjadi ringan dan baik sahaja. Bahkan, setiap ujian dan dugaan Allah SWT akan diringankan dengan memberi jalan keluar. Justeru, Allah SWT juga menganugerahkan hati yang waja dan tabah supaya iman serta kekuatan seseorang Mukmin itu lebih utuh dalam mendepani ujian seterusnya. Sebagai insan yang lemah, tundukkan hati di hadapan Allah SWT dengan solat yang ikhlas kepada-Nya. Seorang Mukmin yang hidupnya lengkap dengan solat lima waktu, tentunya akan sentiasa terbimbing ke jalan yang diredai Allah SWT. Menurut Pahrol, bagi seorang Mukmin yang merasakan dirinya taat kepada perintah Allah SWT iaitu solat lima waktu tetapi hati masih tidak tenang atau masih tidak sabar dengan ujian yang Allah SWT berikan, mereka hendaklah membuat ‘periksa dan pertimbang’ solat atau ibadah yang dilakukan. Barangkali solatnya cukup lima waktu tetapi solatnya tidak sempurna dari segi adab dan tertibnya sedangkan kesempurnaan atau kecemerlangan (itqan) dalam beribadah amat ditekankan. Solat juga merendahkan hati dengan merasai sifat kehambaan terhadap Allah SWT. Seorang yang sempurna solatnya dengan ikhlas dan itqan pasti akan dicampakkan Allah SWT dengan keikhlasan dalam hati untuk setiap amalan yang dikerjakan kerana Allah SWT. Jaga solat Solat adalah ibadah pertama yang dihisab di akhirat nanti, perlu disempurnakan untuk membina kualiti hidup seterusnya menambah nilai ibadah lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada permulaan malam.” (Surah Hud, ayat 114) Perlu juga diingatkan ibadah yang dilakukan hendaklah dimulai dengan niat kerana Allah SWT. Setiap ibadah yang dilaksanakan termasuk solat untuk mendapat ganjaran rezeki yang banyak, kesihatan baik, pangkat besar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT yang Maha Mencipta seluruh alam ini. Diriwayatkan seorang sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW mengenai seorang lelaki yang bersolat tetapi masih mencuri. Lalu Baginda SAW bersabda: “Insya-Allah solat itu nanti akan menghalang dirinya daripada perbuatan mencuri.” Jika solat kita masih belum dibantu oleh Allah SWT iaitu masih ada perbuatan tidak baik yang kita lakukan, jangan sesekali berhenti melaksanakan ibadah itu, sebaliknya perbaikilah solat mudah-mudahan dengan cara itu kita akan memperoleh solat yang sempurna serta menjadi ahli syurga di akhirat kelak. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat) dan beribadahlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Hajj, ayat 7)

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.