Kiriman pada: Mon, Jan 25th, 2016

Pantau Kebencian Di Media Sosial

Kongsi maklumat ini
Tags

gkxfDILAPORKAN bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menggunakan media sosial untuk ‘membangkitkan kebencian’ terhadap badan-badan kerajaan.

Media telah memetik kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bahawa suatu pasukan khas akan ditubuhkan untuk menyiasat dan mengambil langkah menangani ‘masalah’ ini, yang dikatakan adalah sesuatu dipandang serius oleh pihak kerajaan. Pasukan khas ini akan dianggotai oleh wakil daripada Pejabat Peguam Negara dan juga polis.

Di samping itu, Ketua Polis Negara juga sebelum itu ada mengatakan bahawa polis sedang memantau apa yang dikatakan di media sosial, termasuklah mereka yang berkongsi gambar dan maklumat. Menurut beliau, pengguna media sosial yang ‘kurang matang’ memaksa polis berbuat demikian.

Pendekatan pihak kerajaan dalam menangani media sosial tidak memeranjatkan, sebenarnya. Jika dilihat, sejak beberapa tahun ini sememangnya kerajaan kurang senang dengan apa yang dikongsikan dan diperkatakan oleh rakyat melalui ruang siber. Kerajaan sememangnya mencari jalan untuk mengawal dan menyekat penggunaan media sosial melalui cara yang tidak disenangi oleh mereka.

Oleh sebab itu, kita dapat lihat peningkatan tangkapan, siasatan dan dakwaan di bawah akta-akta seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap pengguna media sosial. Kita juga dapat lihat pindaan terhadap Akta Hasutan tahun lepas, yang mana menyasarkan media sosial dan internet secara khusus. Terdapat juga ura-ura bahawa kerajaan akan memperkenalkan undang-undang baharu khusus bagi komunikasi melalui internet.

Langkah-langkah ini diambil kerana media sosial menjadi pentas yang paling luas bagi rakyat Malaysia menyuarakan pendapat, kritikan, tohmahan, pendapat, dan juga penghinaan terhadap kerajaan dan para pemimpin.

Kerajaan sedar bahawa mereka tidak lagi punya monopoli dalam penyebaran maklumat, dan oleh itu mereka tidak dapat lagi mengawal apa yang diperkatakan oleh rakyat di luar sana.

Sebab itulah mereka mencari jalan untuk mendapat semula ‘kawalan’ ke atas maklumat.

Kebebasan bersuara sememangnya tidak mutlak dan mempunyai had. Ini tidak dinafikan. Sekiranya kebebasan bersuara digunakan untuk mengajak orang untuk mengakibatkan kemudaratan terhadap orang ramai atau harta benda, maka sudah tentu ia tidak wajar dibenarkan.

Tetapi had kebebasan bersuara bukanlah sehinggakan rakyat tidak boleh mengkritik, menempelak, menghina atau membenci kerajaan. Dalam erti kata lain, membenci, mengkritik atau menghina kerajaan itu termasuk dalam hak kebebasan bersuara, melainkan ia mengakibatkan kemudaratan.

Tidak dinafikan, ada pengguna media sosial yang menyebarkan perkara palsu atau memfitnah pemimpin. Sekiranya ini berlaku, pemimpin yang berkenaan mempunyai hak untuk mengambil tindakan sivil seperti saman fitnah jika mereka rasakan perlu.

Mungkin ada yang biadab atau kurang ajar dalam mengkritik, tetapi kita kena ingat kebiadaban atau kurang ajar itu bukanlah jenayah. Bukan menjadi tanggungjawab atau fungsi institusi kerajaan seperti polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk memastikan bahawa tidak ada rakyat membenci kerajaan atau pemimpin.

Adakah dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang biadab, kurang ajar, tidak matang dan sebagainya dalam menggunakan media sosial, maka rakyat tidak akan membenci kerajaan? Sudah tentu tidak.

Realitinya adalah dunia sudah berubah. Kerajaan tidak boleh fikir ia boleh berselindung daripada suara-suara yang mereka tidak suka atau yang sumbang pada telinga mereka. Kalau ingin jadi ahli politik pada zaman moden ini, kulit kena tebal dan kental.

Jangan salah faham. Penulis tidak menghalalkan penyalahgunaan media sosial. Mereka yang benar-benar menggunakan media sosial untuk melakukan jenayah tidak wajar terlepas.

Tetapi ada perbezaan ketara dengan apa yang menjadi jenayah, dan apa yang tidak disenangi kerajaan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.