Kiriman pada: Tue, Jan 17th, 2017

Parti Pembangkang Tiada Prinsip Istiqamah Dan Konsisten

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Ketil – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan percanggahan pendapat antara pemimpin parti pembangkang dalam pelbagai perkara yang jelas menunjukkan betapa mereka tidak mempunyai prinsip istiqamah dan konsisten.

Memberi contoh isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), perdana menteri berkata pemimpin parti pembangkang memberikan kenyataan yang jelas berbeza-beza mengenai perkara itu.

“Wan Azizah (Presiden PKR) kata sokong BR1M, Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) tak sokong, Tun Dr Mahathir pula kata BR1M rasuah. Lepas itu cakap pula nak kekalkan BR1M. Jadi di mana letaknya prinsip istiqamah dan konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program Sepetang Bersama Rakyat di Padang Awam Kuala Ketil di sini hari ini yang dihadiri lebih 23,000 penduduk kawasan Parlimen Baling.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Perdana menteri berkata situasi barisan pembangkang yang ‘caca merba’ juga jelas dilihat dalam isu membabitkan program khas Haji Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila wujud percanggahan pendapat antara mereka.

Najib berkata, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lantang mengkritik program itu, sedangkan timbalan PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir pernah menghantar kira-kira 20 wakil dari Kedah untuk menyertai program itu ketika menjadi menteri besar dahulu.

Justeru beliau meminta rakyat agar yakin dan percaya bahawa parti Barisan Nasional dan UMNO merupakan parti yang terbaik dan boleh diharapkan rakyat.

Segala apa jua tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dibuat selepas memikirkan faedah dan manfaat yang diperoleh rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang, katanya.

Beliau memberi contoh kunjungan beliau ke China baru-baru ini termasuk usaha meminta China membeli lebih banyak minyak kelapa sawit dan getah daripada Malaysia.

Mengenai Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil, Najib berjanji akan memberikan kelulusan untuk kolej itu dinaik taraf sebagai universiti penuh sekiranya kesemua syarat sudah dipenuhi.

“Kita kena pentingkan kualiti, jangan pula kita hendakkan ijazah tapi tiada kualiti. Baik kita buat pelaburan untuk tingkatkan lagi kualiti,” katanya.

Keseriusan kerajaan negeri untuk menaik taraf status KUIN sebagai universiti penuh, bermula November tahun lalu, apabila mesyuarat Lembaga Pengarah KUIN dipengerusikan Ahmad Bashah sendiri di Wisma Darul Aman.

Dalam mesyuarat itu, Ahmad Bashah berkata kerajaan negeri sudahpun mendapat mandat dan perkenan Sultan Kedah yang juga Canselor KUIN untuk menaik taraf IPT milik penuh kerajaan negeri itu menjadi universiti Islam pertama di negeri ini.

Najib berkata majlis pecah tanah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di daerah Baling juga akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.