Kiriman pada: Mon, Dec 28th, 2015

Parti Politik Perlu Dinamik – Salleh Said

Kongsi maklumat ini
Tags

Sebuah parti politik seperti UMNO perlu sentiasa dinamik bagi memastikan ia terus relevan sepanjang masa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, berkata UMNO tidak boleh bergantung kepada ideologinya semata-mata, sebaliknya parti itu perlu terus menerus memberi khidmat kepada rakyat.

“Pada akhirnya rakyat akan melihat bahawa UMNO adalah parti sepanjang masa, yang relevan dan satu parti yang ingin membantu rakyat dan bukan berideologi semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Singgah Santai anjuran kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Salleh sekiranya UMNO sentiasa membantu rakyat tanpa mengira musim, rakyat akan yakin bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang boleh diharapkan untuk membela mereka.

Pada majlis berkenaan, kira-kira 700 murid sekolah rendah dari seluruh daerah menerima bantuan beg sekolah melalui program kerjasama dengan UMNO Kota Belud.

Selain beg sekolah, penganjur turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut dan menjahit kasut murid sekolah secara percuma.

Program berkenaan antara lain bertujuan membantu golongan ibu bapa berpendapatan rendah terutama dalam menghadapi sesi persekolahan awal tahun depan.

Seorang ibu, Sameyah Junki, 32, dari Kampung Kuala Abai, berterima kasih kepada kerajaan kerana menganjurkan program seperti itu yang disifatkannya benar-benar meringankan bebannya untuk menghadapi sesi persekolahan tahun depan.

“Syukur Alhamdulillah kerana budak-budak mendapat bantuan sebelum memulakan sesi persekolah tahun depan. Memang ia dapat meringankan beban saya sebagai ibu,” katanya yang datang ke program itu bersama dua orang anaknya yang masing-masing dalam Tahun 2 dan Tahun 4.

Katanya dengan bantuan berkenaan, kini dia cuma perlu memikirkan untuk menyediakan keperluan sekolah bagi dua orang lagi anaknya yang masing-masing berada dalam Tahun 6 dan Tingkatan 1.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.