Kiriman pada: Sat, Feb 18th, 2017

PAS Akan Terus Berunding Dengan PPBM

Kongsi maklumat ini
Tags

Gombak – PAS menubuhkan Jawatankuasa Perundingan PAS Pusat untuk meneruskan rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jawatankuasa itu akan meneliti permuafakatan dengan PPBM dengan merujuk kepada prinsip yang menjadi pegangan PAS selama ini.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh Tuan Ibrahim; Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Dr. Mohamad Khazani Abdullah dan Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Melalui jawatankuasa itu juga, kita akan sentiasa membuat kajian kerjasama politik supaya masalah dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Kolej Islam Universiti Zulkifli Muhammad dekat Taman Melewar.

Bagaimanapun, katanya, keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan akan diserahkan kepada Majlis Syura Ulama PAS untuk membuat pendirian.

“Tiada hubungan (dengan PPBM) tidak bermakna tiada rundingan, dalam kerjasama dengan PPBM, kita akan teliti beberapa perkara dengan parti itu.

Mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang enggan meneruskan kerjasama dengan PPBM, Tuan Ibrahim berkata kenyataan itu akan diteliti semula.

Sebelum ini Abdul Hadi pernah menegaskan PAS tidak akan menjalin hubungan dengan PPBM dan semua parti yang bekerjasama dengan DAP.

Tuan Ibrahim berkata, kenyataan Abdul Hadi itu juga tidak menggambarkan dalam PAS ada dua kumpulan berbeza pandangan.

Menyentuh kedudukan PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor, Tuan Ibrahim menjelaskan, PAS akan kekal sambil menyifatkan ia adalah hak parti itu.

Katanya, PAS tidak akan berganjak kerana sebahagian besar kerusi di negeri itu adalah miliki PAS iaitu sebanyak 15 kerusi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.