Kiriman pada: Fri, Mar 27th, 2015

PAS Gesa DAP Henti Provokasi, Elak Putus Kerjasama

Kongsi maklumat ini
Tags

katKuala Lumpur – PAS hari ini mempertikaikan motif provokasi berturut-turut yang ditujukan kepada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, daripada parti sekutu di dalam Pakatan Rakyat (Pakatan), DAP.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, tindakan DAP membangkitkan isu undang-undang jenayah Islam (UUJI) secara tidak langsung sebenarnya telah membelakangkan prinsip bersama Pakatan iaitu ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan yang segala gerak kerja dan strategi politik PAS adalah berprinsipkan Islam, termasuklah dari segi kerjasamanya dengan DAP.

“Lebih ketara apabila isu UUJI dibangkitkan DAP telah memperlihatkan wajahnya yang sebenar dalam menentang sebarang usaha mendaulatkan UUJI sehingga melupakan prinsip bersama Pakatan iaitu “bersetuju untuk tidak bersetuju”.

“Perlu diingat bahawa PAS melakarkan segala gerak kerja dan strategi politiknya dengan merujuk kepada prinsip Islam. Kerjasama politik dengan DAP dibenarkan berasaskan prinsip dan syarat yang digariskan oleh Islam antaranya iaitu kerjasama membuka laluan memperkuatkan Islam.

“Begitulah juga PAS membincangkan perihal hukum mengundi calon pilihanraya bukan Islam dari parti sekular sosialis seperti DAP dengan merujuk kepada prinsip-prinsip Islam,” ujar beliau.

Selain itu, tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Hadi kerana didakwa membelakangkan Pakatan, dipersoalkan Khairuddin dengan membangkitkan isu Menteri Besar Selangor dan ‘Kajang Move’ yang menyaksikan satu lagi parti sekutu mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak mengambil keputusan sendiri tanpa merujuk kepada pimpinan Pakatan.

“Sejak isu MB Selangor dan Kajang Move secara bersiri DAP melancarkan serangan provokatif khususnya terhadap peribadi Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS.

“Tuduhan khianat, membelakangi Pakatan dan seumpamanya meniti di bibir bukan seorang di kalangan pimpinan DAP. Terakhirnya pula memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi tidak dengan PAS?

“Namun peliknya, tindakan bersendiri PKR dalam Kajang Move tidak pula dikatakan membelakangi Pakatan. Memecat Tan Sri Khalid (Ibrahim) untuk membuangnya daripada jawatan MB tanpa persetujuan bersama PAS tidak pula dikira khianat.

“(Veteran DAP) Lim Kit Siang pula mencadangkan pakatan dengan Barisan Nasional (BN) atas tema “save malaysia”? Tidakkah itu pengkhianatan terhadap Dasar Bersama Pakatan?” soal beliau.

Seterusnya beliau menyatakan kebimbangan berhubung tindakan berterusan DAP menentang usaha mendaulatkan UUJI yang boleh membawa kepada hilangnya alasan untuk PAS meneruskan kerjasamanya dengan parti majoriti Cina itu.

Justeru, beliau menasihatkan pimpinan DAP agar berhenti daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi terhadap PAS dan pimpinannya.

“Saya sangat bimbang dengan tindakan berterusan DAP menyerang, memfitnah dan menghina Presiden PAS dan terlalu keras menentang usaha mendaulatkan UUJI boleh menyebabkan hilangnya segala alasan syarie beragama untuk ahli-ahli PAS bekerjasama dan mengundi DAP dalam pilihanraya.

“Justeru, saya menasihatkan DAP agar lebih berhemah dan tidak lagi meneruskan kenyataan provokatif terhadap PAS khususnya Presiden PAS jika Pakatan masih diharapkan menjadi medium bersama menentang segala ketirisan, salahguna kuasa, rasuah dan kegagalan pentadbiran BN,” tegas beliau.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.