Kiriman pada: Fri, Jul 31st, 2015

‘Pas Kini Lebih Suka Kritik DAP’

Kongsi maklumat ini
Tags

fsgjsfGEORGETOWN – Pas kini dilihat lebih berminat mengkritik DAP berbanding menumpukan pada isu lain yang melanda negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan yang dikeluarkan beberapa pemimpin tertinggi parti Islam itu menggambarkan mereka lebih condong kepada BN dan Umno.

“Ingin saya tegaskan, saya akan terus bersuara demi rakyat. Saya akan terus bersuara dalam mempertahankan dan membela prinsip dan kebenaran.

“Sekiranya tindakan saya ini (mengeluarkan kenyataan) menyebabkan saya akan kalah dalam pilihan raya umum nanti, saya terima. Saya akan terus perjuangkan keadilan dan memerangi rasuah,” katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang terlalu banyak bercakap.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu dilaporkan berkata, Guan Eng dan DAP perlu belajar menyimpan kenyataan supaya tidak menyusahkan diri.

Guan Eng berkata, kenyataan itu menggambarkan seolah-olah Pas hanya tahu mengkritik DAP berbanding Umno dan BN.

“Kenyataan beliau (Mohd Amar) menggambarkan Pas sekarang hanya tahu nak kritik DAP sahaja, bukan (kritik) Perdana Menteri, isu 1MDB, BN atau Umno.

“Kenyataan itu selaras dengan kenyataan Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang langsung tidak kritik tindakan menggugurkan Timbalan Perdana Menteri sebaliknya hanya mahu menunggu prestasi barisan Kabinet yang baru dilantik,” katanya.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan itu jelas menggambarkan Pas kini berdiri seiring dengan Perdana Menteri dan skandal 1MDB.

“Saya percaya, rakyat kini mula nampak Pas semakin condong ke arah Umno. Biar rakyat yang tentukan untuk pilih alternatif lain bagi menggantikan kerajaan sedia ada,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.