Kiriman pada: Tue, Feb 14th, 2017

PAS Perlu Tarik Diri Dari Kerajaan Selangor

Kongsi maklumat ini
Tags

Pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan PAN secara jelas memutuskan hubungan kerjasama dengan PKR, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Oleh itu, ahli parlimen PAS berkenaan berkata parti tersebut kini perlu mempertimbangkan untuk menarik diri dari kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR.

“Sudah trang lagi bersuluh, PKR seperti mana PPBM sudah mempunyai hubungan kerjasama politik dengan DAP dan PAN, malah telah menanda tangani ‘perjanjian kerjasama politik’ untuk meranapkan kuasa politik Umno/BN pada PRU ke-14 nanti.

“Oleh itu secara prinsipnya hubungan kerjasama PAS dan PKR yang sedia terjalin sudah terbatal dengan keputusan dasar yang diumumkan oleh Presiden PAS,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, PAS tidak perlu menunggu hingga muktamar parti itu pada April nanti untuk menentukan kedudukannya dalam hubungan kerjasama dengan PKR.

Ahad lalu, Hadi menutup rapat pintu bekerjasama dengan PPBM walaupun rundingan berterusan diadakan oleh pemimpin kanan kedua-dua pihak.

Presiden PAS itu menegaskan bahawa mereka tidak akan mempunyai sebarang kaitan dengan pihak yang bekerjasama dengan DAP dan parti serpihannya, PAN.

Mahfuz berkata implikasi lebih besar juga bermakna bahawa PAS perlu melepaskan semua jawatan jawatan lantikan politik dengan segera secara berprinsip.

Ini termasuk jawatan exco, ahli majlis kerajaan tempatan, jawatankuasa kemajuan keselamatan kampung (JKKK), ketua kampung, syarikat berkaitan kerajaan (GLC.

“Adalah lebih baik untuk PAS mengelakkan dari apa-apa persepsi atau tanggapan serong yang menampakkan PAS masih sayang pada kebendaan dan ketamakan kuasa yang diperolehi hasil dari kedudukkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

“Sudah sampai masanya (Pesuruhjaya PAS Selangor) Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga naib presiden PAS dan rakan-rakan exco kerajaan negeri dari PAS melepaskan jawatan exco dan apa-apa jawatan lantikan politik yang berkaitan,” katanya.

Mahfuz juga melahirkan rasa sayu dengan sedihnya dengan pendirian Hadi itu ketika rakyat mengharapkan satu pakatan gabungan kekuatan parti pembangkang untuk meranapkan dan menamatkan kuasa politik Umno/BN.

“Berdasarkan keputusan yang dinyatakan PAS, semua parti pembangkang sudah boleh merumuskan PRU-14 akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru termasuk PAS juga sudah boleh merancang ‘sterategi tiga penjuru’ untuk memastikan Umno/BN dikalahkan.

“Usah lagi menghabiskan masa dengan agenda pujuk rayu untuk PAS menyertai gabungan pakatan pembangkang, sebaliknya semua parti termasuk PAS perlu tumpu kepada usaha ‘pujuk rayu rakyat’* untuk menolak Umno/BN pada PRU -4 nanti,” katanya.

Menurut Mahfuz, semua pihak termasuk PAS, perlu memikirkan bagaimana untuk menumbangkan BN dalam konteks pertembungan pelbagai penjuru.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.