Kiriman pada: Mon, Mar 30th, 2015

Pasca Banjir – 56.7 Hektar Tanah Dikenal Pasti Untuk Bina 1,415 Rumah

Kongsi maklumat ini
Tags

11 TOKPAKota Baharu – Kerajaan Persekutuan dan negeri mengenal pasti tanah seluas 56.7 hektar bagi pembinaan rumah kekal kepada 1,415 keluarga yang mempunyai masalah berkaitan status tanah di negeri ini selepas kediaman mereka musnah dalam bencana banjir yang melanda Kelantan, Disember tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kawasan yang dikenal pasti itu termasuk di Chenulang, Kuala Krai dan Bertam Baru, Gua Musang.

“Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan RM6 juta bagi membina kira-kira 100 buah rumah di tanah yang dikenal pasti khususnya di Gua Musang.

“Perkembangan terbaru ini diharap akan membantu mempercepatkan proses pembinaan rumah tersebut yang sebelum ini mengalami sedikit kesukaran akibat masalah tanah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pasca Banjir di Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Mustapa berkata sejumlah 56.7 hektar tanah yang disediakan itu cukup untuk menyelesaikan pembinaan 1,415 buah rumah kepada mangsa banjir terbabit.

Mustapa berkata dalam perbincangan jawatankuasa bersama sebelum ini, kerajaan pusat bersetuju membina 1,244 buah rumah kekal, manakala 580 buah rumah lagi dibina oleh kerajaan negeri.

“Daripada 1,824 buah rumah, hanya 409 keluarga mempunyai status tanah yang jelas manakala 1,145 buah rumah lagi masih diragui atau bukan hak milik sendiri.

“Kita buat keputusan untuk menyegerakan pembinaan 409 buah rumah itu dahulu yang dijangka siap menjelang Ramadan atau sebelum Syawal nanti,” katanya.

Katanya, sebanyak 59 buah rumah daripada 409 buah rumah telah disiapkan sepenuhnya, manakala 129 buah rumah masih dalam proses pembinaan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.