Kiriman pada: Wed, Jan 18th, 2017

Pastikan Pengundi ‘Putih’ Mengundi Dalam PRU-14

Kongsi maklumat ini
Tags

Bagan Datuk – Ahli UMNO khususnya yang menjadi anggota Jalinan Rakyat (JR) harus memastikan semua pengundi ‘putih’ mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti untuk memastikan Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata JR harus kenal pasti siapa pengundi berdaftar di kawasan masing-masing, di mana mereka mengundi serta kecenderungan politiknya.

“Apabila seseorang itu sudah dikenal pasti sebagai pengundi ‘putih’ (pasti mengundi BN), maka JR harus sentiasa berhubung rapat dengannya dan memastikan individu itu pergi mengundi ketika PRU-14 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan JR Perdana 2017 Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk sempena Program Pemukiman Menteri Besar Perak di Daerah Bagan Datuk di Simpang Empat di sini, sebentar tadi.

Saarani yang juga EXCO kerajaan negeri berkata, pada PRU-12 dan PRU-13, BN kehilangan banyak kerusi kerana kegagalan memastikan pengundi ‘putih’ keluar mengundi.

“Mengambil iktibar ini, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan dan Kuala Kangsar, JR berperanan penting kenal pasti pengundi dan ajak mereka keluar mengundi dan hasilnya pada jam 2 petang hari pengundian kedua-dua PRK itu, kita tahu BN sudah menang.

“Jadi, biarlah orang nak bercakap pasal 1MDB (1Malaysia Development Bhd), (derma) RM2.6 bilion, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) atau apa sahaja, yang penting ialah siapa yang turun mengundi,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan dalam PRK Teluk Intan dan Kuala Kangsar boleh diulangi pada PRU-14 jika JR dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.