Kiriman pada: Fri, Mar 13th, 2015

Pasukan Pemantau Malaysia Berlepas Ke Mindanao Pantau Proses Damai

Kongsi maklumat ini
Tags

Tan-Sri-Zulkifeli-Mohd-Zin1Petaling Jaya – Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao 10 (TPA-M10) berlepas ke Mindanao, Filipina hari ini bagi menjalankan tugas pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Tim itu berlepas menggunakan pesawat C-130 dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada kira-kira 9 pagi.

Tim ini melibatkan penyertaan 16 anggota iaitu 11 daripada ATM, dua daripada Polis Diraja Malaysia manakala tiga kakitangan awam daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin sebelum ini mengingatkan para anggota pasukan itu supaya melaksanakan tugasan dengan penuh profesional dan tidak berbelah bahagi dalam memastikan proses perdamaian dapat dicapai dalam masa terdekat.

Tim itu dijangka menjadi kumpulan terakhir dalam tugas mereka selepas perjanjian damai peringkat akhir itu ditandatangani.

“Selepas ia ditandatangani kelak, mungkin pemantauan oleh pihak tertentu dari negara luar tidak lagi wujud sebaliknya akan wujud jawatankuasa ‘decommissioning committee’ untuk menentukan penyerahan senjata sebagai mana yang telah termaktub dalam perjanjian”,katanya.

Perjanjian akhir itu juga dijangka memperuntukkan Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL) yang kini dalam proses pendengaran di kongres Filipina.

Misi TPM-10 diketuai Mejar Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan ditempatkan di empat kawasan, Catabato City, Illigan City, Zamboanga dan General Santos City.

Tim ini akan menggantikan TPA-M9 yang telah bertugas sejak 14 Mac 2014 dan dijangka akan bertugas selama setahun di kawasan yang telah ditentukan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.