Kiriman pada: Tue, Jul 7th, 2015

Pasukan Petugas Khas Beku Enam Akaun Bank

Kongsi maklumat ini
Tags

fjkfgkKuala Lumpur – Pasukan Petugas Khas berkenaan dakwaan dana disalurkan ke dalam akaun bank perdana menteri telah memerintahkan pembekuan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengumumkan demikian dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Mereka berkata pasukan itu semalam juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu siasatan.

“Pasukan Petugas Khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut nama pemilik-pemilik akaun dan bank-bank yang terlibat.

Katanya: ” Siasatan masih berjalan. Justeru, Pasukan Petugas Khas menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan.”

Jumaat lepas, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, banyak pihak menggesa perdana menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan nama beliau dan imej negara kerana dakwaan itu melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.

Dua hari lepas, Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.