Kiriman pada: Sun, Mar 15th, 2015

Pasukan Skuasy Wanita Negara Bakal Menerima Anugerah Khas

Kongsi maklumat ini
Tags

skuasyKEJAYAAN melangkah ke peringkat akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia pada Disember tahun lepas membolehkan pasukan skuasy wanita negara dipilih sebagai penerima Anugerah Khas pada majlis Anugerah Sukan SAM-100Plus 2014 yang akan berlangsung pada 18 Mac ini.

Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata tahun 2014 menjadi tahun cemerlang bagi skuad skuasy wanita negara apabila berjaya buat pertama kalinya melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2014.

Skuad negara yang diketuai pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David hanya selangkah untuk menjuarai kejohanan yang diadakan secara dwi tahunan itu.

Mereka – Nicol, Low Wee Wern, Delia Arnold, Zulhijjah Azan, tewas 1-2 kepada pasukan England pada perlawanan akhir kejohanan itu.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) itu berlangsung di The Club at White Oaks, Niagara-on-the-Lake, Kanada pada 1 hingga 6 Dis, 2014 menyaksikan sebanyak 20 negara mengambil bahagian.

“Rentetan kejayaan skuad skuasy wanita negara bermula apabila mereka berjaya menewaskan Perancis 2-0 pada saingan suku akhir.

Seterusnya mereka mengejutkan juara bertahan Mesir dengan kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung penuh dramatik untuk menempah tempat di perlawanan akhir,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, Malaysia telah menyertai kejohanan itu sejak tahun 1990 lagi, bagaimanapun sehingga 1996, mereka sekadar melengkapkan jadual perlawanan di peringkat kumpulan sahaja.

Namun, bermula pada tahun 2002 dan seterusnya untuk tiga edisi berturut-turut, skuad skuasy wanita telah mempamerkan peningkatan dan berjaya melangkah ke peringkat suku akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan dunia itu ialah meraih pingat gangsa dalam empat edisi iaitu Edmonton, Kanada (2006); Kaherah, Mesir (2008); Palmerston Utara, New Zealand (2010) dan Nimes, Perancis (2012).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.