Kiriman pada: Sat, Nov 14th, 2015

PBS Boleh Kembangkan Sayap Ke Semenanjung, Sarawak, Kata Ahmad Zahid

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDIKota Kinabalu – Parti Bersatu Sabah (PBS) kini boleh mengembangkan keanggotaan parti ke Semenanjung dan Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini susulan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan permintaan PBS itu berkuat kuasa 3 Nov lepas.

“Saya tahu pentingnya presiden PBS meminta (kelulusan itu) daripada saya sebagai Menteri Dalam Negeri di mana RoS di bawah kementerian saya.

“Tapi (PBS) mesti terus taat setia kekal dalam Barisan Nasional (BN),” katanya dengan disambut tepukan gemuruh tanda sokongan daripada anggota PBS ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-30.

Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan surat kelulusan daripada RoS itu bersama-sama sijil kebenaran kepada Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan dasar, Pairin berkata permohonan membuka cawangan dan keanggotaan di Semenanjung dan Sarawak adalah selaras dengan keputusan dibuat semasa Kongres PBS pada tahun 1995.

“Lebih 200,000 rakyat Sabah bekerja di Semenanjung, dan saya percaya langkah ini akan disambut baik oleh rakyat yang ingin bersama-sama dalam perjuangan PBS untuk semua kaum,” katanya.

Pairin percaya langkah tersebut akan menjadi lembaran baharu bagi PBS untuk menyumbang peranan dalam BN dengan lebih efektif bagi menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.