Kiriman pada: Wed, Jan 20th, 2016

PDRM SEDANG KENAL PASTI PENGLIBATAN RAKYAT MALAYSIA DI KEM BAHARU DAESH

Kongsi maklumat ini
Tags

ckKuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang mengenal pasti sama ada terdapat rakyat Malaysia, termasuk kanak-kanak, di kem pengganas Daesh baharu di sebuah negara utara Afrika.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata PDRM dimaklumkan terdapat sekurang-kurangnya 10 kem latihan baharu khusus untuk melatih kanak-kanak dalam aktiviti militan di sebuah negara di utara Afrika, selain di Syria.

“Berdasarkan hasil maklumat ‘intelligant’ yang diperoleh memang ada kem terbaru yang diwujudkan oleh kumpulan berkenaan di sana (utara Afrika) di daerah tertentu yang dikuasai oleh mereka (pengganas Daesh).

“Kem yang ditubuhkan oleh mereka menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri rancangan temu bual ‘Ruang Bicara’ di Bernama TV, malam tadi.

Ayob Khan berkata mengikut maklumat awal yang diterima, kem berkenaan melatih kanak-kanak seawal usia lapan tahun serta remaja dalam lingkungan usia 13 hingga 15 tahun.

“Setakat ini, PDRM masih belum menerima maklumat mengesahkan bahawa ada kanak-kanak Malaysia turut terlibat dalam menjalani latihan di kem berkenaan,” katanya.

Ayob Khan berkata kanak-kanak dan remaja di kem itu didedahkan dengan teknik memasang dan menanggalkan senjata api, belajar menembak, cara membuat bahan letupan dan sebagainya.

Kumpulan Daesh ini menjadikan kanak-kanak dan remaja sebagai pengebom bunuh diri kerana pergerakan mereka ini sukar untuk dikesan pihak berkuasa berbanding orang dewasa, katanya.

Menyentuh mengenai jumlah individu yang ditahan kerana kegiatan militan di negara ini sejak Februari 2013, beliau berkata 150 individu termasuk 25 wanita serta 21 warga asing ditahan.

Beliau berkata daripada 150 orang yang ditahan, 54 orang dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan keganasan, Akta Senjata Api, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013 dan Akta Imigresen.

Selain itu, Ayob Khan berkata 14 rakyat Malaysia dilaporkan terkorban ketika menyertai Daesh di Syria setakat ini, termasuk enam pengebom bunuh diri manakala lapan lagi terkorban dalam pertempuran.

“Trend ini amat membimbangkan dan kami tidak menolak kemungkinan terdapat pelajar Malaysia yang belajar di Mesir menggunakan cuti semester mereka untuk memasuki sempadan negara utara Afrika itu bagi menyertai Daesh kerana sempadan Mesir berhampiran dengan negara itu,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.