Kiriman pada: Wed, Jul 1st, 2015

Pegawai kerajaan perlu tahu kedudukan ekonomi negara

Kongsi maklumat ini
Tags

MUSTAPA MOHAMED_TPPAKOTA BAHARU: Pegawai kerajaan perlu mengetahui kedudukan ekonomi dan kewangan negara selain memahami dengan jelas isu semasa yang berkaitan dengan masyarakat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Beliau berkata, sebagai jentera hadapan dalam kerajaan, mereka boleh memainkan peranan menyebarkan maklumat yang jelas kepada rakyat berkaitan sesuatu isu. “Pada pandangan saya setiap pegawai kerajaan harus memahami keadaan sekarang supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan yang turut dihadiri pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, malam tadi. Mustapa berkata, kerajaan sentiasa mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan bagi menjelaskan kedudukan semasa ekonomi dan kewangan negara supaya mereka mendapat maklumat terkini untuk disebarkan kepada rakyat.

“Usaha sedang dilakukan kerajaan untuk memantapkan kedudukan ekonomi dan kewangan negara berikutan harga minyak jatuh dengan ketara kira-kira dua bulan lalu,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan berkata, sebanyak 127 keluarga mangsa banjir yang sebelum ini tinggal di khemah di Bandar Utama Gua Musang telah berpindah ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang. Katanya, 12 keluarga lagi yang masih tinggal di khemah diharap berpindah segera ke kem berkenaan yang lebih selesa dengan pelbagai kemudahan yang lebih baik terutama untuk mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri. Keluarga terbabit ditempatkan sementara di khemah berikutan rumah mereka musnah akibat banjir yang berlaku pada Disember tahun lalu.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.