Kiriman pada: Thu, Feb 2nd, 2017

Pegawai Khas Menteri Dituduh Rasuah

Kongsi maklumat ini
Tags

Shah Alam – Seorang pegawai khas menteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM80,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zailan Jauhari, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Asmadi Hussin selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Zailan didakwa menerima rasuah secara tunai berjumlah RM20,000 dan dalam bentuk sekeping cek Bank Islam Malaysia Berhad bertarikh 10 Januari 2014 berjumlah RM60,000 daripada individu bernama Siti Rahmah Sabil.

Bayaran itu sebagai upah melakukan transaksi bagi syarikat KCM Maju Recources dan Syarikat Sri Kajang Jaya mendapatkan tender kerja pembersihan sekolah di Zon 2 dan Zon 4 dalam daerah Kuala Selangor daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Perbuatan itu dilakukan di Mak Engku Steambot & Grill, Taman Bendahara Kuala Selangor, antara jam 7.30 malam hingga 8 malam, 8 Januari 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Heikal Ismail manakala Zailan diwakili peguam Fadzil Manan.

Hakim menetapkan RM30,000 sebagai jumlah jaminan selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri ke Pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.